Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Tutup kilang Top Glove langkah wajar, elak penularan Covid-19

SHAH ALAM, 25 NOV: Penutupan secara berperingkat kesemua 28 kilang Top Glove di Kapar, Klang adalah langkah wajar berikutan lokaliti tersebut menyumbang peningkatan kes Covid-19 di Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan asrama pekerja terbabit diyakini mampu mengekang penularan Covid-19.

“Saya anggap penutupan (kilang) satu tindakan yang wajar namun kita juga menyedari kesan terhadap masyarakat dan disebabkan itu kita ambil beberapa waktu (menutup kilang),” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari semasa pelancaran 16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berdasarkan Gender di Foyer SUK, Shah Alam pada 25 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan program 16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berdasarkan Gender sempena sambutan Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Amirudin berkata sehingga kini kira-kira 5,000 daripada keseluruhan 13,000 pekerja kilang sarung tangan terbabit selesai menjalani saringan Covid-19.

“Bagaimanapun kita sangat bimbang kerana 60 peratus daripada keputusan saringan yang diperoleh setakat ini positif Covid-19,” katanya lagi.

Terdahulu, tujuh daripada 28 kilang pengeluar sarung tangan terkenal diarah tutup mulai hari ini sehingga 8 Disember selepas merekodkan ribuan kes positif Covid-19.

Arahan penutupan sebahagian premis di Jalan Teratai itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).