Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor, SKMM bincang usaha kukuh perkhidmatan komunikasi

SHAH ALAM, 16 NOV: Kerajaan Selangor bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mencari jalan bagi memperkukuh pembangunan dan perkhidmatan komunikasi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu khusus untuk manfaat rakyat Selangor selari misi ke arah Negeri Pintar Ulung menjelang 2025.

“Ini juga sejajar dengan misi Agenda Digitalisasi Selangor yang diumumkan ketika belanjawan negeri 2021 pada 30 Oktober lalu,” tulisnya di Instagram hari ini.

Sebelum itu, Amirudin menerima kunjungan hormat delegasi SKMM diketuai Pengerusinya Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek di pejabat Dato’ Menteri Besar di sini.

Dalam pertemuan itu, beliau turut mendengar taklimat dan berbincang berhubung Jalinan Digital Negara (Jendela) yang melibatkan Selangor.

Sejumlah RM369 juta, atau satu pertiga dari keseluruhan belanja pembangunan, disediakan bagi menjayakan agenda Negeri Pintar Ulung dan Agenda Digitalisasi dalam Belanjawan Selangor 2021.

Amirudin berkata usaha itu bagi menggerak ekonomi secara holistik melalui transformasi sistem
perkhidmatan, sosial, perniagaan dan keusahawanan, penciptaan nilai serta seni kreatif.

Beliau menjelaskan dasar itu juga memecahkan stigma bahawa pendigitalan tidak membunuh peluang pekerjaan, sebaliknya mewujudkan peluang pekerjaan.