Categories
AGENDA NASIONAL

301 ingkar PKP ditahan, 298 dikompaun semalam – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 301 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah yang ditahan itu, 298 dikenakan kompaun manakala tiga direman, dengan kesalahan tertinggi direkodkan iaitu 149 atas kesalahan kegagalan mematuhi arahan penjarakan fizikal.

“Kesalahan ingkar arahan PKP yang lain iaitu tidak memakai pelitup muka melibatkan 77 individu; gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (63), aktiviti pusat hiburan (2), dan lain-lain (10).

“Bagi Op Benteng pula, seramai 31 pendatang tanpa izin dan dua tekong ditahan, selain turut merampas enam kenderaan darat,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan PKP Pemulihan, di sini hari ini.

Mengenai operasi sanitasi awam, katanya sebanyak 36 operasi sanitasi meliputi 14 zon merah, empat (zon jingga), tujuh (zon kuning) dan dua (zon hijau) di sembilan negeri dan wilayah persekutuan, semalam.

Sementara itu, sehingga semalam seramai 94,967 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa, dengan 7,362 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 540 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

– BERNAMA