Categories
AGENDA NASIONAL

Kes kemalangan naik sejak arahan kerja dari rumah ditarik – polis

KUALA LUMPUR, 28 APRIL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan purata 180 kes kemalangan setiap hari di Kuala Lumpur sejak arahan bekerja dari rumah terbatal bermula 1 April lepas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata jumlah tersebut meningkat berbanding ketika kerajaan membenarkan kaedah bekerja dari rumah iaitu 50 hingga 70 kes sehari yang direkodkan.

Beliau berkata kemalangan itu membabitkan 60 hingga 70 peratus pemandu kenderaan empat roda manakala selebihnya adalah penunggang motosikal.

“Begitu juga pada hujung minggu, kita menerima purata 70 hingga 80 kes kemalangan setiap hari.

“Kami percaya perkara ini berlaku kerana pertambahan kenderaan dan orang ramai sudah mula bergerak keluar bekerja serta faktor ekonomi yang semakin rancak,” katanya kepada pemberita selepas program Penyerahan Bubur Lambuk JSPTKL bersama Pakatan Pemandu di Plaza Tol Jalan Duta di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Ti Lian Ker dan Presiden Pakatan Pemandu Nor Aizam Abd Kadir.

Zulkefly berkata kes kemalangan yang sering dilaporkan membabitkan jalan di pusat dan pinggir bandar ketika orang ramai datang serta pulang kerja manakala kemalangan maut pula banyak dilaporkan berlaku pada waktu malam selepas 10 malam.

Menurutnya, bilangan kenderaan kini sudah mencecah 90 peratus, walaupun tiada rentas negeri kes kemalangan semakin bertambah.

Pada 30 Mac lepas, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan arahan bekerja dari rumah (WFH) bagi sektor awam dan swasta terbatal bermula 1 April dan kadar kehadiran pekerja bagi sektor swasta termasuk industri perkilangan yang dibenarkan adalah 100 peratus.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Semua jajahan di Kelantan dikenakan PKP – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Semua jajahan di Kelantan akan berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setelah tiga lagi jajahan/daerah iaitu Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang dikenakan PKP bermula esok hingga 29 April.

Sebelum ini, PKP dilaksanakan di jajahan Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah bermula 16 April hingga 29 April.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKP di tiga jajahan itu dilaksanakan berikutan peningkatan mendadak kes positif Covid-19.

“KKM (Kementerian Kesihatan) melaporkan terdapat peningkatan kes aktif sebanyak 83.9 peratus dalam tempoh 14 hari iaitu daripada 18 kes kepada 112 kes dan ketiga-tiga jajahan ini telah bertukar kepada zon merah,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan PKP adalah untuk memastikan pergerakan penduduk di lokaliti itu dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 ke kawasan lain.

Ismail Sabri juga berkata PKP Diperketatkan (PKPD) akan dilaksana di tiga taman perumahan di Lahad Datu, Sabah iaitu Taman Aman 3, Taman Aman Jaya dan Taman Palm Height bermula esok hingga 5 Mei.

“Sehingga kini, secara keseluruhan sebanyak 45 kes positif Covid-19 telah direkodkan di ketiga-tiga lokaliti tersebut iaitu 24 kes di Taman Aman 3, Taman Aman Jaya (10 kes) dan Taman Palm Height (11),” katanya.

Beliau turut memaklumkan penamatan PKPD susulan penurunan kes baharu di Kampung Menuang Baru di Limbang, Sarawak pada 24 April seperti dijadualkan.

Katanya PKPD di Perumahan Komuniti Bersepadu Pulau Serai di Pekan, Pahang yang dijadualkan tamat esok dilanjutkan hingga 29 April susulan peningkatan kes.

Ismail Sabri berkata sejumlah 230 individu ditahan semalam kerana ingkar tatacara operasi piawai (SOP) dan 228 daripada mereka dikenakan kompaun manakala dua lagi direman.

Merujuk kepada Operasi Benteng, beliau berkata lapan pendatang tanpa izin ditahan semalam dan empat kenderaan darat turut dirampas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: 208 individu ingkar SOP ditahan, sembilan direman

SHAH ALAM, 11 APRIL: Seramai 208 individu ditahan atas kesalahan ingkar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri kanan (keselematan) berkata daripada jumlah itu, 199 individu dikompaun manakala sembilan direman.

“Aktiviti pusat hiburan antara kesalahan ingkar SOP paling banyak iaitu 112 manakala kesalahan gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri/pelanggan adalah 27.

“Bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka ialah 16 dan lain-lain 53,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini.

Mengenai kawalan sempadan negara, Ismail Sabri berkata Op Bentang berjaya menangkap sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas tiga kenderaan darat.

“Dalam operasi itu juga pihak berkuasa turut mengesan 115 bot di perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan. Seramai tujuh PATI turut diusir,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

107 individu ingkar SOP PKP ditahan – menteri

SHAH ALAM, 18 MAC: Seramai 107 individu ditahan kerana ingkar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu 89 individu dikompaun manakala 18 lagi direman.

“Antara kesalahan yang direkodkan melibatkan aktiviti pusat hiburan (75) tiada penjarakan fizikal (24), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (dua) dan lain-lain (enam),” katanya dalam kenyataan.

Menurut Ismail Sabri, Op Benteng pula berjaya menahan 28 orang pendatang asing tanpa izin dan merampas 12 kenderaan darat.

Mengenai saringan wajib pekerja warga asing, beliau berkata 3,149 individu telah menjalani ujian Covid-19 semalam dengan keputusan lima daripadanya positif.

“Secara keseluruhannya, seramai 657,220 pekerja warga asing telah menjalani saringan Covid-19 yang melibatkan 34,095 majikan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Gagal sedia alat rekod butiran pelanggan kesalahan tertinggi ingkar SOP

SHAH ALAM, 13 MAC: Gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan menjadi kesalahan tertinggi dengan 70 pemilik premis dikenakan tindakan semalam.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada 223 individu yang ditahan kerana ingkar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seramai 216 dikompaun dan tujuh lagi direman menerusi pemeriksaan pasukan khas operasi pematuhan.

“Kesalahan tidak memakai pelitup muka (55), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (47), gagal mematuhi penjarakan fizikal (24), aktiviti pusat hiburan (17) dan lain-lain (10),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pemantauan dijalankan di 6,277 restoran, pasar raya (6,726), bank (3,322), penjaja (4,103), kilang (2,329) dan pejabat kerajaan (929).

Katanya, operasi pemantauan turut dijalankan di 3,620 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (1,836) dan terminal pengangkutan udara (1,032).

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan tegas tutup sementara kilang, premis niaga gagal patuh SOP

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Kerajaan akan menutup sementara operasi kilang dan premis perniagaan yang gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) penguatkuasaan pencegahan Covid-19 dan sekiranya didapati berlaku jangkitan kes di kawasan itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pengusaha kilang yang gagal mewajibkan pekerja warga asing untuk membuat ujian saringan Covid-19.

Beliau berkata sehingga kini, sembilan kilang dan 16 premis perniagaan yang tidak dibenarkan beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah diarahkan tutup oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Kita serius dari segi memastikan tiada jangkitan Covid-19 di kilang sama ada ditutup sementara sehingga kes selesai dan kita pastikan pekerja-pekerja mereka bebas daripada Covid-19,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di sini hari ini.

Sejak kebelakangan ini, terdapat peningkatan kes positif dan jumlah kluster Covid-19 di tempat kerja yang telah menyumbang kepada peningkatan jumlah kes positif Covid-19 harian.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata meskipun pasangan jarak jauh (PJJ) dibenarkan untuk merentas negeri bagi melawat pasangan atau keluarga masing-masing, mereka masih perlu mendapat kelulusan daripada pihak polis dengan membawa dokumen pengesahan dan turut disarankan membuat ujian saringan Covid-19.

Ditanya mengenai tindakan sesetengah pihak pengurusan kondominium yang mengarahkan penyewa membuat ujian calitan Covid-19 sebelum memasuki unit kediaman, beliau berkata tindakan itu adalah dibenarkan.

Katanya walaupun Majlis Keselamatan Negara tidak mengeluarkan polisi itu, agensi tersebut tidak menghalang pihak pengurusan kondominium atau kawasan perumahan berbuat sedemikian bagi menjaga keselamatan penduduk.

Ismail Sabri juga berkata pihak polis boleh menggunakan budi bicara dan membenarkan penduduk yang tinggal di kawasan sempadan merentas negeri untuk mendapatkan kemudahan di bandar yang lebih dekat.

“Adalah munasabah untuk membenarkan rentas negeri bagi mendapatkan barang keperluan di bandar yang paling hampir dengan mereka.

“…radius yang dibenarkan untuk keluar adalah maksimum 10 kilometer (km) tetapi kalau bandar dalam negeri tersebut berada dalam 15 km sedangkan bandar di negeri lain (bersebelahan) adalah tiga km, saya harap pihak polis benarkan (rentas negeri),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita sama ada kerajaan mempertimbang kebenaran bagi penduduk di kawasan sempadan seperti Hulu Bernam, Selangor merentas negeri untuk ke Pekan Tanjung Malim di Perak kerana kemudahan di situ lebih dekat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP: Operasi niaga dilanjut hingga 10 malam mulai esok

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Waktu operasi semua sektor perniagaan yang dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 10 malam bermula esok, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

Beliau berkata antaranya ialah kedai runcit, kedai serbaneka, farmasi, kedai keperluan harian, kedai makanan haiwan, kedai dobi dan kedai cermin mata yang diumumkan sebelum ini.

“Sebelum ini, semua sektor (terbabit) dibenarkan beroperasi sehingga 8 malam. Setelah Kementerian Kesihatan membuat penilaian risiko, sidang Majlis Keselamatan Negara bersetuju tempoh perniagaan restoran dan kedai lain dilanjutkan sehingga 10 malam.

“Kita tahu banyak kekeliruan yang menyukarkan dari segi penguatkuasaan kerana waktu operasi yang berbeza-beza dan permohonan daripada sektor perniagaan terlibat untuk melanjutkan tempoh operasi perniagaan mereka,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di Wisma Pertahanan hari ini.

Ismail Sabri juga berkata sektor perhutanan dan kayuan serta rantaian yang melibatkan pembalakan dan lain-lain beroperasi seperti biasa bermula esok.

Beliau berkata kerajaan juga sedang menggubal Ordinan Darurat bagi meningkatkan jumlah kompaun terhadap individu dan syarikat yang didapati ingkar tatacara operasi piawai (SOP) semasa PKP.

Ismail Sabri turut menyeru orang ramai agar meningkatkan disiplin diri dalam mematuhi arahan ditetapkan dan tidak menunggu sehingga pihak berkuasa mengambil tindakan.

Mengulas mengenai pematuhan SOP, katanya Polis Diraja Malaysia menahan 494 individu yang menyaksikan sejumlah 464 orang dikompaun, 29 direman dan seorang diikat jamin.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Niaga dalam talian tumbuh pesat sejak PKP tahun lepas

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Meskipun ia bukanlah rahsia lagi bagi sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terkesan akibat pandemik Covid-19 dan disusuli Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lepas, namun banyak PKS berjaya bertahan dengan mengendalikan perniagaan mereka dalam talian.

Malahan dalam tempoh sebulan selepas PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac tahun lepas, aktiviti perniagaan dalam talian meningkat 28.9 peratus, demikian menurut laporan berita.

Banyak PKS termasuk restoran, kedai runcit, pasar raya dan peniaga menawarkan pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan kepada pengguna, yang boleh diperoleh menerusi dalam talian yang membolehkan mereka akses kepada pasaran yang lebih besar dan luas.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan PKS Malaysia, Rizal Nainy berkata, penyertaan e-dagang dalam kalangan PKS meningkat sebanyak tiga peratus antara Mac dan Oktober 2020 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Manakala antara 1 Mac hingga 31 Okt tahun lepas, sebanyak 373,213 entiti mendaftarkan perniagaan mereka di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi kategori dalam talian.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengendali Restoran Muslim Malaysia, Datuk Jawahar Ali memberitahu Bernama, lebih 2,500 restoran – atau 65 peratus daripada jumlah 4,250 ahli seluruh negara – kini turut menjalani perniagaan dalam talian, dan menambah kata pandemik Covid-19 sebagai ‘dorongan’ bagi mereka untuk membawa perniagaan mereka ke platform digital.

Merekayasa semula perniagaan

Rizal menggesa para pengusaha dan peniaga untuk maju dan serius mempertimbangkan bagi menyesuaikan teknologi maklumat dan komunikasi kerana ia memainkan peranan penting dalam mendorong pertumbuhan sektor PKS tidak hanya dari segi meningkatkan produktiviti dan kecekapan tetapi juga dalam memperluas jangkauan pasaran mereka.

Penghantar barangan dalam talian aplikasi “Seldec Rider” mengangkat beg barangan mereka selepas selesai sesi sidang media Pelancaran Web Portal SELDEC (Selangor Digital e-Supply Chain) & Sistem Aplikasi “Seldec Rider” di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam pada 24 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Bagi menyesuaikan diri dengan ekonomi digital secara keseluruhan, PKS perlu merekayasa semula model perniagaan mereka untuk memastikan mereka mempunyai strategi, proses dan infrastruktur perniagaan yang betul untuk menyokong transformasi digital, katanya.

“Ini menjadi semakin penting sekarang ini memandangkan pandemik yang masih dialami mempengaruhi banyak perniagaan, terutama mereka yang belum menyesuaikan digitalisasi dan belum menceburkan diri dalam e-dagang,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed, dari Pusat Pengajian Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia, memuji langkah para peniaga mendigitalkan operasi mereka dengan menyatakan bahawa langkah itu bukan sahaja akan menghasilkan pendapatan berpotensi lebih tinggi tetapi juga sejajar dengan aspirasi Revolusi Industri 4.0 negara ini.

Memetik penjualan satu hari yang luar biasa oleh pemain e-dagang Ali Baba dan JD.com pada 11.11.2020 (festival membeli-belah global), beliau berkata, jumlah penjualan gabungan mereka lebih tinggi daripada peruntukan Belanjawan 2021 Malaysia iaitu RM322.5 bilion.

Untuk rekod, Ali Baba mencatatkan jualan bernilai RM230.89 bilion dan JD.com RM165 bilion pada 11.11.2020, yang meningkat sehingga RM395.89 bilion.

Oleh itu, pengusaha melaksanakan langkah tepat dalam memindahkan operasi mereka ke ekosistem digital untuk memanfaatkan pasaran dalam talian yang menguntungkan, katanya.

Rahmat di sebaliknya

Anuar Shah Bali juga berkata, peralihan progresif e-dagang boleh memberi kesan besar kepada pembangunan ekonomi negara dan memungkinkannya untuk menghadapi cabaran ekonomi global.

“Jika lebih banyak PKS beralih kepada perniagaan dalam talian, mereka akan boleh meningkatkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pada 2019, PKS menyumbang 38.9 peratus KDNK dan 66 peratus pekerjaan dalam negara,” katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan perniagaan dalam talian tahun ini dijangka meningkatkan pertumbuhan KDNK, yang akan memastikan ekonomi Malaysia berada di landasan yang betul untuk berkembang sebanyak 6.5 peratus hingga 7.5 peratus seperti yang disasarkan di bawah Belanjawan 2021.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Malam Bumiputera Shah Alam dan Klang, Kamarul Nizam Razak, menyifatkan wabak Covid-19 sebagai satu rahmat di sebaliknya dan berkata ia telah memaksa peniaga untuk lebih berdaya tahan, berani dan kreatif dalam menyesuaikan diri dengan suasana perniagaan semasa.

“Ramai peniaga menjalankan perniagaan menerusi dalam talian bagi meningkatkan hasil jualan masing-masing dan meningkatkan pertumbuhan perniagaan. Walaupun platform digital telah memberi aliran pendapatan kepada peniaga, ia juga membantu syarikat perkapalan dan penghantaran untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan,” katanya.

Kamarul Nizam berkata, beliau sendiri terpaksa melakukannya dalam talian pada tahun lepas selepas PKP dikuatkuasakan dan pada mulanya beliau mendapati ia agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.

“Cuba bayangkan, selama 20 tahun saya mengendalikan gerai menjual produk minuman di pasar malam di Shah Alam. Kemudian, tiba-tiba saya terpaksa menukar arah dan beralih menggunakan platform dalam talian seperti Facebook dan WhatsApp untuk mempromosi produk saya.

“Meskipun margin keuntungan harian hanyalah kira-kira 20-30 peratus daripada yang saya peroleh sebelum ini, tetapi masih sebagai peniaga kami perlu mengambil risiko yang kami tidak pernah jangka sebelum ini,” tambahnya lagi.

Strategi pemasaran kreatif

Seorang pensyarah Fakulti Pengkomputeran di Universiti Malaysia Pahang, Dr Rahmah Mokhtar, pula menggesa peniaga agar melaksanakan strategi pemasaran kreatif untuk menarik lebih ramai pelanggan kerana persaingan sengit dalam kalangan pemain e-dagang.

Peniaga menyiapkan tempahan makanan yang dibuat melalui Plats dan Grab di e-dapur Bandar Utama, Damansara pada 4 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Bagi perniagaan dalam talian, produk itu sendiri memerlukan visualisasi dan foto yang boleh menarik pelanggan untuk ke laman web berkenaan. Contohnya, peniaga yang menjual murtabak semasa bulan Ramadan perlu memuat naik gambar makanan yang lazat itu untuk menarik pelanggan.

“Mengubah sudut foto produk anda juga suatu tindakan baik untuk menjadikan iklan itu kelihatan lebih menarik. Jika anda tidak pandai dalam mengedit foto, anda boleh sahaja mengupah orang yang mahir untuk melakukannya agar foto itu cantik dan memikat pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan hashtags atau # dalam laman media sosial juga penting untuk membolehkan perniagaan seseorang menjangkau pelanggan yang disasarkan.

“Pengguna media sosial akan berhubung dengan perniagaan anda setiap kali mereka menaip nama produk yang anda jual di kotak carian. Contohnya, jika anda menjual murtabak, anda boleh menggunakan hashtags seperti #murtabak, #murtabakpekan atau #murtabaksedap,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Calon SPM 2020, 2021 dibenar hadir ke sekolah

SHAH ALAM, 11 JAN: Pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama bagi sesi 2020 dan 2021 dibenar hadir ke sekolah, tertakluk tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kebenaran tersebut turut melibatkan sekolah di negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Berhubung perkara ini, Kementerian Pendidikan Malaysia akan memperincikan SOP yang akan dilaksanakan,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Pada 8 November, kerajaan mengumumkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dipinda ke 22 Februari 2021. Tarikh bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga dianjak ke 8 Mac.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

393 ingkar PKP ditahan, 372 dikompaun semalam – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Seramai 195 individu yang terlibat dalam aktiviti pusat hiburan adalah antara 393 orang yang ditahan atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kesalahan lain ialah tidak memakai pelitup muka (89 orang), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (70), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (36) dan lain-lain (3).

“Daripada jumlah yang ditahan itu, 372 dikenakan kompaun manakala 21 direman,” katanya dalam kenyataan mengenai PKP dan PKP Pemulihan hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata pihak berkuasa turut menahan 49 pendatang tanpa izin dan dua tekong, serta menyita tujuh kenderaan darat dalam Op Benteng semalam.

Mengenai operasi sanitasi awam, beliau berkata sebanyak 37 operasi dijalankan meliputi zon merah (17), zon jingga (2), zon kuning (6) dan zon hijau (3) di sembilan negeri dan wilayah persekutuan, semalam.

Sementara itu, hingga semalam, seramai 99,573 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dengan 7,985 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 540 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ingkar PKP: 1,388 ditahan pada hari pertama 2021

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Hari pertama 2021 semalam menyaksikan jumlah tangkapan tertinggi bagi kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu 1,388 individu, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya daripada jumlah itu, 1,352 individu dikenakan kompaun manakala 32 individu direman dan empat individu dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP ialah aktiviti pusat hiburan (623), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (424), tidak memakai pelitup muka (137), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (118) dan lain-lain kesalahan (86),” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Beliau berkata tangkapan tersebut merupakan hasil pasukan petugas operasi pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia yang menjalankan 48,316 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) PKP di seluruh negara semalam.

Bagi Op Benteng, seramai 95 lagi pendatang tanpa izin berjaya ditahan manakala 105 sekatan jalan raya dijalankan semalam.

Beliau berkata kerajaan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

Sementara itu, sehingga semalam seramai 93,312 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dengan 7,547 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 540 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

Ketika memperincikan mengenai barangan keperluan asas, Ismail Sabri berkata penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam telah melakukan 604 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan termasuk peruncit (445), pemborong (128) dan pengilang (31).

“Secara keseluruhan, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri terutamanya ketika menjalankan aktiviti jual beli barangan keperluan harian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

301 ingkar PKP ditahan, 298 dikompaun semalam – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 301 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah yang ditahan itu, 298 dikenakan kompaun manakala tiga direman, dengan kesalahan tertinggi direkodkan iaitu 149 atas kesalahan kegagalan mematuhi arahan penjarakan fizikal.

“Kesalahan ingkar arahan PKP yang lain iaitu tidak memakai pelitup muka melibatkan 77 individu; gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (63), aktiviti pusat hiburan (2), dan lain-lain (10).

“Bagi Op Benteng pula, seramai 31 pendatang tanpa izin dan dua tekong ditahan, selain turut merampas enam kenderaan darat,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan PKP Pemulihan, di sini hari ini.

Mengenai operasi sanitasi awam, katanya sebanyak 36 operasi sanitasi meliputi 14 zon merah, empat (zon jingga), tujuh (zon kuning) dan dua (zon hijau) di sembilan negeri dan wilayah persekutuan, semalam.

Sementara itu, sehingga semalam seramai 94,967 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa, dengan 7,362 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 540 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

– BERNAMA