Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: 100 unit kendera saji Kohijrah tahun depan

SHAH ALAM, 11 DIS: Koperasi Warga Hijrah Selangor (Kohijrah) menyasarkan 100 unit kendera saji untuk ditawarkan sebagai pinjaman kepada usahawan kecil pada tahun depan.

EXCO pembangunan usahawan berkata golongan tersebut atau mereka mahu memulakan perniagaan disaran memohon kepada koperasi yang ingin menambah jumlahnya susulan permintaan tinggi iaitu 70 unit kenderaan berkaitan diagihkan tahun ini.

“Saya menggalakkan lebih ramai usahawan kecil ubah cara berniaga dari bawah payung kepada kendera saji yang lebih selesa dan mudah untuk mereka bergerak ke mana sahaja,” kata Rodziah Ismail selepas ditemui pada Majlis Lawatan dan Serahan Kendera Saji di Wisma Kohijrah di sini semalam.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai atau usahawan tidak hanya mengharapkan bantuan sekali bayar sebaliknya usaha mencari landasan yang disediakan Kerajaan Negeri.

“Kita amat prihatin, banyak disediakan contohnya seperti pinjaman modal untuk berniaga menerusi Hijrah, Kohijrah atau Klinik Usahawan. Mereka harus tampil, berbincang dan selagi boleh kita akan tolong,” katanya lagi.

Penduduk Selangor boleh membuat pinjaman dengan Kohijrah untuk membeli kendera saji dengan hanya perlu membawa tiga bulan penyata bank dan sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di samping membuat pilihan harga sama ada RM26,500 atau RM50,000.