Categories
BERITA UTAMA EXCO

EXCO: 2,200 petani terjejas terima bantuan makanan asas

KUALA SELANGOR, 6 DIS: Kerajaan Negeri bakal menyalur bantuan makanan asas kepada 2,200 petani yang terjejas akibat Covid-19.

EXCO pemodenan pertanian dan industri asas tani berkata insentif melibatkan peruntukan sejumlah RM250,000 diharap dapat meringankan beban golongan tersebut yang berdepan tempoh sukar.

“Kerajaan Negeri berusaha mengurangkan kesan penularan wabak sejak Mac lepas dialami rakyat termasuk golongan petani.

“Sebelum ini bantuan makanan asas turut diberi kepada nelayan. Kita akan terus melaksanakan pelbagai insiatif mengikut keperluan semasa,” kata Ir Izham Hashim kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan baja kompos kepada petani sekitar Sungai Burong hari ini.

Pada April Kerajaan Negeri mengumumkan nelayan, petani dan penternak mempunyai pendapatan bersih RM1,500 sebulan ke bawah layak menerima bantuan makanan asas.

Mengulas lanjut beliau berkata seramai 222 petani di seluruh Selangor yang mengalami kerugian akibat banjir bakal menerima bantuan prihatin minimum RM500.

“Kita minta petani terjejas tampil memohon bantuan, setakat ini 222 petani di kenal pasti layak untuk tujuan itu,” katanya.