Categories
AGENDA NASIONAL

Ismail Sabri: Arahan bekerja di rumah masih dikuat kuasa

SHAH ALAM, 9 DIS: Arahan bekerja di rumah masih dikuat kuasa di Lembah Klang susulan peningkatan kes Covid-19, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Kuala Lumpur dan Selangor sehingga 20 Disember kecuali beberapa kawasan.

“Arahan kerja dari rumah kekal bagi Selangor dan Kuala Lumpur yang melibatkan sejuta penduduk kerana kawasan ini masih dikategorikan zon merah atau berisiko.

“Mengenai negeri lain, kita belum dimaklumkan sama ada perlu dilanjutkan atau tidak kerana Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) perlu menilai beberapa perkara terlebih dahulu,” katanya pada sidang media hari ini.

Pada 21 Oktober, kerajaan membenarkan maksimum 10 peratus kakitangan sesebuah syarikat berada di pejabat sepanjang PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.