Categories
AGENDA NASIONAL

Lazada Malaysia anjur lawatan maya ke Zoo Negara

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Lazada Malaysia akan menganjurkan lawatan maya percuma yang pertama di aplikasi Lazada, LazLive ke Zoo Negara, untuk pencinta haiwan liar mengunjungi zoo daripada rumah masing-masing.

Lazada Malaysia dalam satu kenyataan hari ini menyatakan LazLive itu akan berlangsung dari jam 10.30 hingga 11.30 pagi pada 11 Disember, iaitu sehari sebelum Jualan Besar-Besaran Akhir Tahun 12.12 Lazada.

“Ketika lawatan maya LazLive itu, Dr Jason Leong seorang doktor yang kini pelawak, akan melawat dan membawakan sesi memberi makan ‘Samba’ seekor Singa, Vani (harimau putih), Flash (harimau kumbang), Choki (orangutan Sumatra) Sibol (gajah) dan banyak lagi,” menurut kenyataan itu.

Lazada Malaysia menyatakan, pada setiap lokasi yang dikunjungi Leong, penonton mempunyai pilihan untuk menderma secara langsung. Setiap 500 penderma pertama di setiap lokasi yang mendermakan RM25, mereka akan menerima wang rebat RM25 ‘dompet’ Lazada 12.12 untuk membuat pembelian dan menikmati penjimatan Beli 1, Jimat 2 dan diskaun pada Lazada 12.12.

Tawaran rebat untuk derma RM25 itu menerusi platform digital Lazada Malaysia iaitu LazadaForGood. Lima penderma LazadaForGood bertuah akan memenangi peluang ‘keluar’ secara maya bersama selebriti kesayangan Malaysia, menerusi pertandingan Facebook ‘Lazada 12.12 Make-Your-Wish’.

Pemenang akan dapat melakukan aktiviti menarik secara maya secara bersama, termasuk duet TikTok bersama Ain Edruce, konsert khas bersama Ayda Jebat, persembahan khas Ismail Izzani dan temu janji makan malam dibayar sepenuhnya bersama Sean Lee dan makanan yang di ‘bakar’ khas Joey Leong.

Mereka yang mendermakan lebih daripada RM50 akan menerima sijil ‘anak angkat’ daripada Zoo Negara selain baucar Zoo Negara,” menurut kenyataan itu.

Lazada Malaysia menyatakan, mereka yang menyertainya hanya perlu mengikuti tiga langkah mudah iaitu, berkongsi ‘tangkap layar’ dermaan mereka bersama nombor pesanan mereka pada ruangan ‘komen’ pertandingan ‘Make-Your-Wish, pada Facebook Lazada Malaysia; pilih selebriti yang ingin mereka menang untuk sesi maya; dan tunggu pengumuman pemenang ketika Program ‘12.12 Chief Discount Officer’ pada 11 Disember dari 9 hingga 11 malam di aplikasi Lazada ‘LazLive’.

“Beberapa bulan lepas merupakan masa sukar untuk kebanyakan rakyat Malaysia. Sebab itu pada Lazada 12.12 tahun ini, kami berharap untuk memberikan semula kepada komuniti tempatan dengan memberikan subsidi kepada hadiah LazadaForGood, dalam membantu rakan kongsi organisasi bukan untung kami, yang telah bekerja keras membantu mereka yang memerlukan dan bagi membantu ‘hero’ barisan hadapan kita,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia Leo Chow.

-BERNAMA