Categories
AGENDA NASIONAL

Zoo Negara boleh bertahan tiga bulan tanpa pengunjung

SHAH ALAM, 3 JUN: Operasi Zoo Negara hanya bertahan dalam tempoh dua hingga tiga bulan tanpa pengunjung susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh bermula 1 Jun.

Timbalan Presiden Zoo, Rosly@Rahmat Ahmat Lana berkata pihaknya masih mampu menampung kos makanan haiwan serta gaji, namun terpaksa mengehadkan bilangan kakitangan bekerja lebih masa.

“Kerja lebih masa hanya dibenarkan kepada kakitangan yang perlu membuat pemantauan 24 jam terhadap anak panda Liang Liang yang dilahirkan Isnin lepas.

“Selain itu bekalan makanan haiwan masih mencukupi tetapi tidak boleh dicatu kerana boleh menjejaskan kesihatan haiwan,” lapor portal Kosmo! hari ini.

Pada 14 April tahun lepas Zoo Negara menerima sumbangan berjumlah RM1 juta daripada pelbagai pihak untuk menampung kos operasi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Maqis serah lapan tan ayam beku kepada Zoo Negara

PASIR MAS, 8 MAC: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) semalam menyerahkan lebih lapan tan ayam beku kepada Zoo Negara sebagai bekalan makanan kepada haiwan di situ.

Ketua Pengarahnya Saiful Yazan Alwi berkata keseluruhan ayam beku itu adalah hasil rampasan oleh pelbagai agensi penguat kuasa di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.

Beliau berkata serahan yang dibuat itu adalah melibatkan kes rampasan sejak Disember 2020 hingga Januari tahun ini dengan anggaran nilai sebanyak RM66,088.

“Kesemua ayam beku ini telah dirampas ketika cuba dibawa masuk dari negara jiran ke Malaysia melalui pangkalan-pangkalan hari di tebing Sungai Golok.

Hasil siasatan mendapati kesemua daging ini dibawa masuk melalui jalan yang tidak diwartakan tanpa sebarang dokumen seperti permit import yang sah daripada Maqis,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sebanyak 8,136 kilogram (kg) kepada Zoo Negara di Kompleks Maqis Rantau Panjang di sini, semalam.

Turut hadir mewakili Zoo Negara, pakar zoologi dan veterinar Dr Naim Ramli.

Menurut Saiful Yazan, ayam beku yang diserahkan kepada pihak zoo itu adalah yang masih segar dan selamat diberikan kepada haiwan di dalam zoo.

Mengulas lanjut, Saiful Yazan berkata perbuatan mengimport ayam beku tanpa permit merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

Katanya, untuk tempoh dua bulan pertama tahun ini sebanyak enam kes rampasan ayam beku seberat 16 tan metrik bernilai RM128,960 direkodkan di Kelantan.

Beliau berkata pada 2020 pula sebanyak 53 kes rampasan ayam beku seberat 176.7 tan metrik bernilai RM1.4 juta direkodkan.

“Bagi mengatasi kegiatan penyeludupan ini, pegawai Maqis di lapangan diarah untuk memeriksa setiap kontena walaupun ia akan memakan masa lebih lama dan menyebabkan barisan panjang di tempat pemeriksaan.

Kita terpaksa melaksanakan tugasan ini kerana daging beku ini melibatkan isu halal iaitu sesuatu yang paling sensitif dalam kalangan umat Islam dan kita tidak boleh berkompromi dalam isu ini,” katanya.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa di semua pintu masuk negara bagi memastikan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara mematuhi peraturan yang telah ditetapkan selain bagi memastikan aspek biosekuriti negara terjamin.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Zoo Negara dibuka semula mulai Jumaat

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Zoo Negara akan kembali dibuka kepada pengunjung bermula Jumaat ini, dengan menawarkan 20 peratus diskaun bagi harga tiket dewasa dan kanak-kanak sebagai usaha menarik pengunjung ke situ.

Timbalan Presidennya Rosly Ahmad Lana berkata pembukaan Zoo Negara mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata tatacara operasi piawai (SOP) ketat tetap dilaksanakan dengan hanya 2,500 pengunjung dibenarkan pada satu masa bermula 9 pagi hingga 5 petang.

“Kami bersyukur dan berterima kasih walaupun dalam tempoh PKPB (sebelum ini), kunjungan begitu menggalakkan. Kami sebenarnya bimbang kerana sekiranya Zoo Negara masih belum dibuka, pihak kami akan mengalami masalah,” katanya pada sidang media hari ini.

Rosly berkata sepanjang PKP pihaknya menerima sumbangan lebih RM11 juta daripada badan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), badan sukarelawan serta individu, sejak Jan 2020 hingga Jan 2021.

Menurut beliau, sumbangan bagi membeli bekalan makanan haiwan, perubatan serta menguruskan haiwan secara berterusan itu dijangka mampu bertahan hingga April ini.

Sementara itu, Rosly turut melepaskan 500 kilogram (kg) ikan rohu dan 400 kg ikan keli Afrika di Tasik Tunku Abdul Rahman yang dibuka kepada pemancing sejak 20 Feb lepas pada 9 pagi hingga 3.30 petang.

Katanya, pematuhan SOP ketat turut dikenakan dengan mengehadkan 90 orang di kawasan tasik pada satu masa dan dikenakan bayaran masuk RM35 seorang manakala ikan yang ditangkap melebihi 10 kg akan diserah kembali kepada pihak zoo.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Kempen Cuti-Cuti Malaysia ‘santai di Zoo’ tawar diskaun menarik

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerusi agensinya Tourism Malaysia melancarkan Kempen Stimulus Cuti-Cuti Malaysia ‘Santai di Zoo’ dengan tawaran diskaun istimewa bagi tiket masuk bermula hari ini hingga 31 Mac.

Tourism Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata kempen di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE), merupakan program kerjasama dengan Zoo Negara, Zoo Melaka serta Zoo Taiping & Night Safari.

“Program ini merupakan inisiatif kerajaan bagi merancakkan semula ekonomi negara melalui penglibatan penggiat industri pelancongan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Zoo Negara menawarkan 40 peratus diskaun bagi harga tiket masuk dewasa dan kanak-kanak kepada lebih 16,000 tiket yang pembelian boleh dibuat melalui platform Shopee.

Zoo Melaka menawarkan diskaun 30 peratus bagi tiket masuk dewasa dan kanak-kanak kepada lebih 20,000 pengunjung pertama dengan pembelian secara online di laman www.zoomelaka.gov.my.

Sementara lebih 30,000 pengunjung yang melawat Night Safari, Taiping akan menikmati diskaun 30 peratus bagi harga tiket masuk dewasa dan kanak-kanak.

Pembelian boleh dibuat melalui kaunter jualan tiket masuk di Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) dan ia hanya sah untuk penggunaan pada hari Isnin hingga Jumaat sahaja.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

UEM Edgenta taja sepasang Zirafah Zoo Negara

KUALA LUMPUR, 12 DIS: UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) menaja sepasang zirafah dikenali sebagai Mas Boy dan Mas Kira sebagai haiwan angkat menerusi program ‘Adopt an Animal’ anjuran Zoo Negara.

UEM Edgenta dalam kenyataan semalam memaklumkan komitmen terhadap program ini adalah selaras dengan matlamat syarikat untuk menyokong pihak berkepentingan utamanya seperti Zoo Negara yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19 melalui aktiviti pembangunan komuniti yang positif dan berimpak tinggi.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Syahrunizam Samsudin berkata pihaknya amat berbangga dapat memainkan peranan sebagai warga korporat yang bertanggungjawab untuk bersama-sama membantu Zoo Negara dengan menaja sepasang zirafah yang comel.

“Inisiatif ini dapat memperluaskan komitmen UEM Edgenta dalam usaha ke arah kelestarian, serta mempromosikan amalan persekitaran, sosial dan tadbir urus yang baik bersama rakan strategik seperti Zoo Negara.

“UEM Edgenta berharap lebih banyak organisasi dan individu dapat tampil untuk membantu Zoo Negara bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan haiwan-haiwan ini,” katanya.

UEM Edgenta memberitahu zirafah spesies ‘Nubia’ itu atau nama saintifiknya Giraffa Camelopardalis dikategorikan sebagai satu daripada sembilan subspesies yang terancam di dunia.

Menurut Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar, populasi zirafah liar telah berkurang sebanyak 40 peratus sejak tiga dekad lepas dengan jumlah terkini kurang daripada 100,000 ekor.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Zoologi Malaysia Rosly @ Rahmat Ahmat Lana berterima kasih kepada UEM Edgenta atas sokongan ikhlas dan padu yang diberikan demi kesejahteraan zirafah dan juga membantu Zoo Negara menerusi program yang berimpak tinggi.

“Kami mengalu-alukan lebih banyak sumbangan daripada syarikat korporat dan orang ramai sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini. Sumbangan tersebut akan terus digunakan untuk menyediakan penjagaan yang sempurna kepada haiwan kami di zoo,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lazada Malaysia anjur lawatan maya ke Zoo Negara

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Lazada Malaysia akan menganjurkan lawatan maya percuma yang pertama di aplikasi Lazada, LazLive ke Zoo Negara, untuk pencinta haiwan liar mengunjungi zoo daripada rumah masing-masing.

Lazada Malaysia dalam satu kenyataan hari ini menyatakan LazLive itu akan berlangsung dari jam 10.30 hingga 11.30 pagi pada 11 Disember, iaitu sehari sebelum Jualan Besar-Besaran Akhir Tahun 12.12 Lazada.

“Ketika lawatan maya LazLive itu, Dr Jason Leong seorang doktor yang kini pelawak, akan melawat dan membawakan sesi memberi makan ‘Samba’ seekor Singa, Vani (harimau putih), Flash (harimau kumbang), Choki (orangutan Sumatra) Sibol (gajah) dan banyak lagi,” menurut kenyataan itu.

Lazada Malaysia menyatakan, pada setiap lokasi yang dikunjungi Leong, penonton mempunyai pilihan untuk menderma secara langsung. Setiap 500 penderma pertama di setiap lokasi yang mendermakan RM25, mereka akan menerima wang rebat RM25 ‘dompet’ Lazada 12.12 untuk membuat pembelian dan menikmati penjimatan Beli 1, Jimat 2 dan diskaun pada Lazada 12.12.

Tawaran rebat untuk derma RM25 itu menerusi platform digital Lazada Malaysia iaitu LazadaForGood. Lima penderma LazadaForGood bertuah akan memenangi peluang ‘keluar’ secara maya bersama selebriti kesayangan Malaysia, menerusi pertandingan Facebook ‘Lazada 12.12 Make-Your-Wish’.

Pemenang akan dapat melakukan aktiviti menarik secara maya secara bersama, termasuk duet TikTok bersama Ain Edruce, konsert khas bersama Ayda Jebat, persembahan khas Ismail Izzani dan temu janji makan malam dibayar sepenuhnya bersama Sean Lee dan makanan yang di ‘bakar’ khas Joey Leong.

Mereka yang mendermakan lebih daripada RM50 akan menerima sijil ‘anak angkat’ daripada Zoo Negara selain baucar Zoo Negara,” menurut kenyataan itu.

Lazada Malaysia menyatakan, mereka yang menyertainya hanya perlu mengikuti tiga langkah mudah iaitu, berkongsi ‘tangkap layar’ dermaan mereka bersama nombor pesanan mereka pada ruangan ‘komen’ pertandingan ‘Make-Your-Wish, pada Facebook Lazada Malaysia; pilih selebriti yang ingin mereka menang untuk sesi maya; dan tunggu pengumuman pemenang ketika Program ‘12.12 Chief Discount Officer’ pada 11 Disember dari 9 hingga 11 malam di aplikasi Lazada ‘LazLive’.

“Beberapa bulan lepas merupakan masa sukar untuk kebanyakan rakyat Malaysia. Sebab itu pada Lazada 12.12 tahun ini, kami berharap untuk memberikan semula kepada komuniti tempatan dengan memberikan subsidi kepada hadiah LazadaForGood, dalam membantu rakan kongsi organisasi bukan untung kami, yang telah bekerja keras membantu mereka yang memerlukan dan bagi membantu ‘hero’ barisan hadapan kita,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia Leo Chow.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

YaPEIM lancar tabung bantuan ringankan beban kewangan Zoo Negara

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) melancarkan Tabung Bantuan Pemuliharaan Haiwan bermula hari ini hingga 28 Februari depan bagi membantu meringankan beban kewangan pengurusan Zoo Negara.

YaPEIM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelancaran tabung itu sebagai tindak balas terhadap situasi penularan pandemik Covid-19 yang memberikan kesan kepada sektor pelancongan seperti Zoo Negara yang menjadi daya tarikan pelancong tempatan dan luar negara.

“Situasi semasa ini menyaksikan operasi Zoo Negara tidak dapat dijalankan seperti biasa dan kesan pemberhentian operasi juga memberi impak kepada semua haiwan yang terdapat di dalam Zoo Negara yang memerlukan makanan dan penjagaan harian.

“Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan ke dalam tabung yang disediakan di 203 cawangan Ar-Rahnu YaPEIM di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan bermula 2 Disember hingga 28 Februari 2021,” menurut kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan kos operasi Zoo Negara secara puratanya mencecah RM1 juta sebulan, meliputi pembayaran gaji kakitangan berjumlah RM400,000, keperluan makanan (RM350,000), bil elektrik (RM140,000) dan bil air RM40,000.

YaPEIM berharap usaha berkenaan akan mendapat sambutan daripada masyarakat serta pencinta haiwan sekali gus membantu meringankan beban pihak pengurusan Zoo Negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: Zoo Negara ‘tenat’, tabung kecemasan bertahan tiga bulan

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Zoo Negara kembali berdepan krisis kewangan yang teruk susulan gelombang ketiga Covid-19 di negara ini yang menyaksikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dengan tabung kecemasan hanya mampu bertahan kira-kira tiga bulan sahaja lagi.

Pengarah Zoologi, Veterinar dan Pusat Konservasi Giant Panda Zoo Negara Dr Mat Naim Ramli berkata penutupan operasi susulan PKPB menyebabkan pihaknya mengalami kemerosotan pendapatan, sekali gus menyukarkan usaha menampung kos operasi yang secara purata mencecah RM1 juta sebulan.

Kos bulanan itu meliputi pembayaran gaji kakitangan berjumlah RM400,000, keperluan makanan (RM350,000), bil elektrik (RM140,000) dan bil air sebanyak RM40,000, katanya ketika dihubungi Bernama.

Mat Naim menjelaskan Zoo Negara yang diuruskan oleh Malaysian Zoological Society, pada awalnya sudah mula menunjukkan momentum pendapatan yang agak memuaskan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Jun lalu

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memberi makanan kepada zirafah ketika mencemar duli melawat Zoo Negara pada 28 Julai 2020. Foto BERNAMA

“Pada Jun, Zoo Negara merekodkan pendapatan sebanyak RM450,000, Julai (RM1 juta), Ogos (RM1.3 juta) dan September sebanyak RM850,000. Namun pada Oktober lepas kita hanya memperoleh RM150,000,” katanya.

Baru-baru ini pendakwah dan aktivis sosial Ebit Lew menarik perhatian netizen apabila menghulurkan sumbangan makanan 200 kilogram daging lembu dan 500 kilogram buah-buahan serta sayur-sayuran kepada haiwan di Zoo Negara selepas dimaklumkan masalah kekurangan dana yang dihadapi pihak zoo.

Pada fasa awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sumbangan daripada pebagai lapisan rakyat termasuk melalui kempen Adopt an Animal telah membantu menampung perbelanjaan dan pengurusan kira-kira 5,137 spesimen daripada 476 spesies mamalia, burung, reptilia, amfibia dan ikan yang menghuni kawasan seluas 110 hektar itu.

Berhubung kenyataan sesetengah pihak yang mempersoalkan tentang dana RM1.3 juta yang disalurkan oleh kerajaan pada April lepas, Mat Naim berkata dana tersebut hanya mampu menampung kos operasi selama sebulan.

Jelasnya sebahagian dana berkenaan iaitu sebanyak RM689,000 telah digunakan bagi membayar premium insurans tahunan panda di zoo berkenaan, dan selebihnya digunakan untuk skop operasi kebajikan haiwan seperti makanan, perubatan dan pencegahan penyakit.

Beliau berkata ketika gelombang pertama Covid-19 yang lepas, kerajaan telah membantu Zoo Negara dan zoo-zoo lain di seluruh negara bagi meneruskan operasi mereka berikutan ketiadaan pengunjung akibat pelaksanaan PKP.

“Cuma sejak PKPB bermula 14 Oktober lepas belum ada lagi bantuan yang diterima. Mungkin kerajaan dalam perancangan berdasarkan kaedah bersesuaian akan terus membantu pengurusan zoo di Malaysia yang amat terkesan dengan penutupan operasi secara berterusan ini memandangkan kos yang perlu ditanggung adalah tinggi,” katanya.

Mat Naim berkata mereka amat mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak untuk membantu Zoo Negara dan mereka yang berhasrat berbuat demikian boleh melayari https://www.zoonegaramalaysia.my/adopt.html untuk maklumat lanjut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong berkenan lawat Zoo Negara

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli melawat Zoo Negara hari ini.

Seri Paduka yang berangkat tiba di lokasi itu pada 9.40 pagi berkenan meluangkan masa lebih dua jam bagi menyaksikan pertunjukan haiwan serta melihat persekitaran kawasan pameran Zoo Negara.

Ketibaan Al-Sultan Abdullah disambut Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Presiden Zoo Negara Datuk Sr Zaharin Md Arif.

Al-Sultan Abdullah memulakan lawatan dengan menyaksikan pertunjukan haiwan di Show Amphitheatre diikuti majlis penyampaian sumbangan replika cek daripada beberapa syarikat tempatan kepada Zoo Negara.

Seri Paduka turut berkenan beramah mesra dan menyantuni wakil syarikat penaja tersebut iaitu Foodpanda Sdn Bhd, 99 Speed Mart Sdn Bhd, Sime Darby Oils Sdn Bhd dan OCBC Al-Amin Bank Berhad.

Bagi tujuan membantu konservasi haiwan di Zoo Negara, Foodpanda Sdn Bhd menaja RM200,000 untuk panda gergasi; 99 Speed Mart Sdn Bhd (RM123,084) untuk dua badak air; Sime Darby Oils Sdn Bhd (RM65,000) untuk dua Orang Utan Sumatera dan Harimau Malaya, serta OCBC Al-Amin Bank Berhad menaja RM40,000 bagi Tapir Malaya.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan atas sumbangan syarikat-syarikat berkenaan dan menyeru syarikat tempatan lain khususnya milik dan berkaitan kerajaan serta multinasional supaya membantu Zoo Negara menampung perbelanjaan dan keperluan hariannya.

Usai majlis tersebut, Al-Sultan Abdullah berkenan melawat beberapa kawasan pameran dan memberi makanan kepada haiwan seperti burung upeh (stork) dan zirafah.

Menaiki tram mengunjungi kawasan pameran, Seri Paduka turut berkenan melihat haiwan lain seperti rusa, singa, Harimau Malaya dan Orang Utan.

Sebelum mengakhiri lawatan, Seri Paduka ke Pusat Konservasi Giant Panda dan memberi makan kepada dua ekor beruang panda gergasi iaitu Fu Wa dan Feng Yi yang dipinjamkan oleh kerajaan China pada 2014 menerusi Program Perjanjian Bersama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi.

Al-Sultan Abdullah turut menyantuni pekerja Zoo Negara di Kedai Gambar Sdn Bhd Wildlife Superstars.

Dibuka pada umum sejak November 1963, Zoo Negara diuruskan oleh Malaysian Zoological Society dan menampung kira-kira 5,137 spesimen daripada 476 spesies mamalia, burung, reptilia, amfibia dan ikan di kawasan seluas 110 hektar.

Melalui harga tiket RM45 untuk setiap pengunjung dewasa dan RM18 bagi kanak-kanak berumur tiga hingga 12 tahun, Zoo Negara menerima anggaran 1,500 pengunjung pada hujung minggu serta cuti umum dan 500 pengunjung pada hari biasa.

Zoo Negara pernah mencatat lebih satu juta pengunjung dalam setahun pada 1986.

Sementara itu, Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly Ahmat Lana berkata Zoo Negara menampung keperluan harian haiwan merangkumi makanan, ubat-ubatan, penyelenggaraan dan gaji pekerja yang menelan kos RM1.2 juta setiap bulan, melalui pelbagai sumber kewangan termasuk tajaan daripada pihak tertentu.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis pantau pematuhan SOP di Zoo Negara

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Anggota polis kini ditempatkan di Zoo Negara di sini bagi memastikan pengunjung mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya kini ditugaskan untuk memantau pergerakan setiap pengunjung yang hadir ke Zoo Negara.

“Setiap pengunjung diminta mematuhi SOP supaya penularan Covid-19 dapat diputuskan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Baru-baru ini tular gambar yang menunjukkan pengunjung tidak mengamalkan penjarakan sosial ketika menonton pertunjukan di Zoo Negara.

Sementara itu, Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly@Rahmat Ahmad Lana berkata pengunjung agak ramai pada minggu pertama pembukaan Zoo Negara pada 10 Jun lepas dan mengakui ada antara mereka yang tidak mematuhi SOP.

Menurut beliau, seramai 300 hingga 700 pengunjung hadir setiap hari dan bilangannya meningkat sehingga 1,500 orang pada hari minggu.

“Kita akui pada awal pembukaan Zoo Negara selepas beberapa bulan ditutup kerana Covid-19, keadaan agak kelam kabut tetapi sekarang kita memastikan pengunjung mematuhi SOP dan dengan pemantauan polis serta agensi penguat kuasa lain turut membantu melancarkan operasi,” katanya kepada pemberita.

Rosly berkata pihaknya akan menyediakan nombor kepada pengunjung yang datang dalam kumpulan keluarga bagi memudahkan SOP PKPP dilaksanakan.

Jelasnya lagi, operasi Zoo Negara akan kembali seperti biasa pada Sabtu ini bermula dari 9 pagi hingga 5 petang.

Tinjauan Bernama di Zoo Negara hari ini mendapati tempat tarikan orang ramai itu dipenuhi pengunjung dan masing-masing dilihat mematuhi SOP yang ditetapkan.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata kebebasan orang ramai di kawasan tumpuan awam seperti Zoo Negara boleh ditarik balik sekiranya dikesan gagal mematuhi peraturan dan SOP ditetapkan.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Pemadam Selangor bantu kumpul dana Zoo Negara

SHAH ALAM, 14 APRIL: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Negeri Selangor mengambil inisiatif membantu mengumpulkan dana dan derma orang ramai untuk disumbangkan kepada Zoo Negara.

Projek khidmat komuniti bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Suspended Meal itu bertujuan untuk memastikan haiwan di Zoo Negara mendapat bekalan makanan mencukupi.

Pemadam Negeri Selangor menerusi hantaran di Facebooknya berkata projek itu bermula semalam sehingga 30 April ini.

“Ayuh kita bersama-sama membantu untuk mengekalkan Zoo Negara sebagai pusat pemuliharaan dan pemeliharaan yang produktif di Malaysia,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh melakukannya menerusi akaun CIMB Pemadam Negeri Selangor (8001940436) atas nota ‘Derma ZN’.

Bagi sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Nadjwa di talian 012-9320812 atau WhatsApp ke 011-27224764 (Sarah) atau emel ke [email protected].

Baru-baru ini, Zoo Negara memohon sumbangan daripada orang ramai untuk mengumpul dana bagi menampung kos keperluan penjagaan seperti makanan.

Ini kerana walaupun Zoo Negara ditutup kepada umum berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), haiwan masih memerlukan penjagaan termasuk makanan dan perubatan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Zoo Negara mohon bantuan tampung kos jaga haiwan

SHAH ALAM, 30 MAC: Zoo Negara memohon sumbangan daripada orang ramai untuk mengumpul dana bagi menampung kos keperluan penjagaan haiwan seperti makanan.

Poster dikeluarkan Zoo Negara bagi memohon sumbangan daripada orang ramai bagi menampung kos operasinya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini.

 

Menerusi hantaran di Facebooknya, Zoo Negara berkata banyak pihak berdepan tidak menentu pendapatan termasuk pihaknya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung Covid-19.

“Walaupun zoo ditutup kepada umum (berikutan PKP) namun haiwan kami masih memerlukan penjagaan termasuk makanan dan perubatan.

“Orang ramai boleh menghubungi kami di talian 03 4108 3422 atau e-mel [email protected] untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya yang turut menjelaskan sumbangan boleh dibuat menerusi program anak angkat.

Zoo Negara yang terletak di Ulu Klang menyimpan lebih 5,000 haiwan daripada 476 spesies mamalia, burung, reptilia, amfibia dan ikan.

Ia bergantung kepada kutipan tiket bagi menampung kos operasi selain sumbangan daripada syarikat korporat.