Categories
AGENDA NASIONAL

Permaisuri Agong berangkat ke Istiadat Pengebumian Negara Tun Rahah

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Istiadat Pengebumian Negara Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah di Masjid Negara hari ini.

Keberangkatan tiba baginda pada kira-kira 2 petang disambut isteri Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, sebelum diiring ke bilik menunggu sementara menanti ketibaan jenazah.

Sementara itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat tiba di masjid berkenaan pada 2.10 petang.

Turut kelihatan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim.

Hadir sama beberapa menteri kabinet, antaranya Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Tun Rahah, 87, meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court petang semalam.

Terdahulu, jenazah Allahyarhamah dibawa ke Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi untuk dimandikan dan dikafankan serta diberikan penghormatan terakhir sebelum dibawa ke Masjid Negara.

Tun Rahah Mohamed Noah, isteri kepada Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak meninggal dunia pada 18 Mac 2020. Foto BERNAMA

– BERNAMA