Categories
AGENSI SELANGOR

Petaling catat kes harian Covid-19 tertinggi

SHAH ALAM, 14 DIS: Daerah Petaling merekodkan kes tertinggi jangkitan Covid-19 hari ini dengan menyumbang 206 kes.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata lebih separuh daripada jumlah terbabit iaitu 115 kes dikesan dari saringan pekerja kluster Tapak Bina Seri Muda.

“Klang mencatatkan 189 kes, Gombak (41), Kuala Selangor (47), Hulu Langat (26), Sepang (14), Kuala Langat (7) dan Hulu Selangor (2).

“Satu jangkitan dari Dubai turut dikesan di Petaling. Pertambahan sebanyak 532 kes ini menjadikan jumlah keseluruhan 21,579,” katanya menerusi Facebook hari ini.

JKNS turut memaklumkan seramai 274 pesakit disahkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital hari ini.