Categories
AGENDA NASIONAL

Petronas sedia pelan pemulihan pasca Covid-19

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Petroliam Nasional Bhd (Petronas menyediakan rancangan pemulihan semula pasca Covid-19 memandangkan syarikat itu sedang mengimbangi kesan pandemik terhadap industri minyak dan gas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata syarikat minyak nasional itu mengambil langkah untuk berunding dengan lembaga pengarah serta pasukan kepimpinan eksekutif bagi membentuk semula portfolionya sebagai respons kepada peralihan tenaga.

“Kami juga menyedari kaedah operasi kami dan bagaimana kami terpaksa bertindak balas melangkaui pandemik ini termasuk perubahan ke atas modal insan kami, akan menjadi bahagian utama dalam penyelesaian agar kekal relevan serta mampan dalam menangani tempoh mencabar ni,” katanya semasa temu bual dengan CNN semalam.

Beliau berkata walaupun Petronas masih mampu mencatatkan keuntungan ketika harga minyak berlegar sekitar AS$40 hingga AS$50 setong, beberapa aset yang tidak boleh disesuaikan dengan jangkaan harga pada AS$40 dan AS$50 setong perlu dilihat semula.

“Adakah kami akan memperbetulkannya? Adakah kami akan mengurangkan risiko atau mengurangkan pendedahan atau kami akan mengurangkan pendedahan atau menjualnya? Ini adalah persoalan-persoalan yang sentiasa berterusan. Pengoptimuman portfolio mungkin merupakan sesuatu yang agak terpencil bagi sesetengah perniagaan tetapi ia adalah sesuatu yang sentiasa perlu (dipertimbangkan),” katanya.

Beliau berkata aset dalam portfolio Petronas perlu berada dalam arah laluan yang jelas termasuk rejim fiskal.

“Cabarannya ialah kami bukan sahaja perlu melihat kepada aset yang mampu membantu kami tetapi dalam tolenrasi pasaran, daripada kos kepada perkhidmatan seperti penggearan kepada pelanggan.

“Anda tahu ia boleh menjadi sangat mencabar apabila harga semerta gas asli di Asia untuk sebahagian tahun ini berada di bawah AS$4 setiap mmbtu (juta unit thermal British). Kami juga perlu memastikan (harga minyak) pada senario AS$40 hingga AS$50 setong,” tambahnya.

-BERNAMA