Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selcare wujud makmal saringan Covid-19, keputusan lebih pantas

SHAH ALAM, 29 DIS: Selcare Management Sdn Bhd (Selcare) bakal mempunyai makmal sendiri bagi membuat kajian sampel saringan Covid-19 tahun depan.

Pengarahnya, Muhammad Azfizam Hamzah berkata penubuhan makmal itu mendapat kerjasama Universiti Selangor (Unisel).

“Kita diberi tempat di Unisel Kampus Shah Alam (Seksyen 7) yang dipanggil Pusat Penjagaan Kesihatan Selcare yang akan ada makmal dan klinik di situ.

“Apabila ada makmal sendiri keputusan ujian saringan dapat dibuat lebih pantas, tepat dan sistematik,” katanya menerusi program bual bicara: Kitaran Covid-19 dan Kemelut Vaksin anjuran Media Selangor di sini malam tadi.

Menjawab pertanyaan moderator dalam program bual bicara kitaran Covid-19 dan kemelut vaksin di pejabat Media Selangor pada 28 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau berkata sebelum ini Selcare menghantar sampel Covid-19 kepada pihak ketiga untuk mendapatkan keputusan.

“Sebelum ini kita hantar kepada pihak makmal di Universiti Malaya, keputusan bergantung pada mereka dan mungkin agak lambat,” tambahnya lagi.

Selcare yang merupakan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) ditubuhkan pada 2017 berfungsi memberi organisasi dan syarikat akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan tanpa tunai melalui rangkaian panel klinik dan hospital swasta berdaftar.

Sehingga kini Selcare mempunyai 17 klinik di Selangor dan tiga di Kuala Lumpur.

Sejak ditubuhkan, agensi itu telah menyediakan perkhidmatan khusus menerusi program Kerajaan Negeri antaranya Peduli Sihat, Kasih Ibu Smart Selangor dan Saringan Komuniti Covid-19.