Categories
PBT SELANGOR

SPRM Selangor jangka lebih 12,000 staf PBT jawab tinjauan rasuah

KLANG, 9 DIS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menjangka seramai 12,098 kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini menjawab kaji selidik berkaitan rasuah.

Timbalan Pengarah Pencegahannya Abdul Razak Deraof berkata tinjauan sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (Hara) dibuat melalui imbasan kod QR bermula hari ini.

“Kaji selidik ini memudahkan SPRM menilai dan membantu PBT merangka serta membuat perancangan inisiatif pencegahan rasuah pada masa hadapan.

“Saya yakin jumlah responden yang disasarkan untuk semua PBT dapat dicapai,” katanya selepas melancarkan Hara PBT Perangi Rasuah peringkat Majlis Perbandaran Klang (MPK) di sini.

Dalam majlis itu, warga kerja MPK melafazkan ikrar integriti korporat dan menandatangani memorandum persefahaman bersama SPRM Selangor diwakili yang dipertuanya Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Sementara itu, Abdul Razak menambah semua PBT negeri ini dibekalkan pelitup muka sebagai bahan kempen Hara 2020 yang juga sebahagian daripada norma baharu susulan Covid-19.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menetapkan 9 Disember sebagai Hari Antirasuah Antarabangsa untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung kegiatan itu.