Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor tangguh istiadat Hari Keputeraan ke-75

SHAH ALAM, 10 DIS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan tiada sebarang istiadat sempena Hari Keputeraan baginda ke-75 esok berikutan penularan Covid-19.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah penangguhan Istiadat Penganugerahan dan Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor bergantung kepada situasi semasa pandemik itu.

“Alhamdullilah, beta bersyukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan rahmatNya, beta dapat menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-75 pada tahun ini.

“Beta mengambil keputusan untuk tidak mengadakan sebarang istiadat tahun ini, namun akan dilaksana pada tarikh yang bakal ditetapkan bergantung kepada keadaan semasa Covid-19,” titah baginda dalam kenyataan disiarkan Facebook Selangor Royal Office.

Dalam kenyataan itu, Sultan Selangor turut menghargai pengorbanan petugas hadapan yang tidak mengenal penat lelah merawat dan mencegah penularan Covid-19.

Baginda turut berkenan menganugerahkan bintang kebesaran dan pingat Negeri Selangor kepada mereka sebagai tanda penghargaan.

“Semoga dengan penganugerahan ini akan dapat menaikkan semangat petugas hadapan untuk meneruskan tugas dengan penuh dedikasi,” titah baginda lagi.

Pada 7 Disember, Setiausaha Kerajaan Negeri memaklumkan Sultan Selangor memenuhi kuota darjah dan bintang kebesaran untuk dianugerahkan kepada petugas hadapan.

Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata Pingat Pekerti Terpilih, Pingat Perkhidmatan Cemerlang, Pingat Jasa Kebaktian dan Pingat Perkhidmatan Selangor akan dikurniakan kepada anggota tentera, polis, bomba serta kakitangan hospital yang bertugas di negeri ini.

Tahun ini, Kerajaan Negeri menerima 3,000 permohonan dengan 1,096 daripadanya adalah pencalonan darjah dan bintang kebesaran manakala 1,904 Pingat-Pingat Negeri Selangor.

Semua penerima melepasi tapisan keselamatan Polis Diraja Malaysia (Keselamatan dan Jenayah), Jabatan Insolvensi Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.