Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada kompromi, penjara seumur hidup sabotaj sumber air

SHAH ALAM, 29 DIS: Individu yang didapati sengaja mencemarkan sumber air mentah negeri ini boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

EXCO alam sekitar berkata tindakan tegas mengikut Seksyen 124K Kanun Keseksaan (Akta 574) bakal dilaksana tanpa mengira status dan pangkat pelaku.

“Saya beri pesanan kepada mereka yang ada niat untuk mencemarkan Sungai Selangor atau Sungai Langat supaya fikir dahulu sebelum bertindak.

“Sekarang kita guna akta agak keras dan jika sabit kesalahan sesiapa sahaja akan dipenjara seumur hidup,” kata Hee Loy Sian selepas menyerahkan dana kepada badan agama Kristian di sini.

Sementara itu, beliau memaklumkan dua lelaki yang terlibat dalam pencemaran Sungai Selangor antara 2 hingga 10 November lalu bakal berdepan hukuman terbabit.

Hee Loy Sian ketika sidang media selepas melawat loji rawatan kumbahan (IWK) Taman Velox, Rawang pada 10 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Jelas wakil rakyat Kajang, tindakan seumpama itu kali pertama dilakukan di Malaysia selepas mendapat persetujuan peguam negara.

“Sebelum ini Seksyen 430 Kanun Keseksaan memperuntuk hukuman penjara maksimum 30 tahun tetapi kedua-dua mereka disabit mengikut Akta 574 kerana polis menemui unsur sabotaj,” kata Loy Sian.

Beliau turut memaklumkan operasi penguatkuasaan premis haram fasa kedua bakal dipergiat di seluruh negeri dengan tumpuan terhadap ladang ternakan.

Pada 23 November, dua lelaki termasuk seorang pengarah sebuah syarikat menjadi individu pertama dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mensabotaj perkhidmatan air Selangor.

Kedua-duanya didakwa kerana berniat mendatangkan mudarat terhadap sumber air di Taman Velox, Rawang antara 2 dan 10 November yang memperuntuk hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.