Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Bukit Gasing tambah dua lokasi saringan Covid-19

SHAH ALAM, 25 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing menambah dua lagi lokasi untuk orang ramai melakukan saringan Covid-19.

Wakil rakyatnya, Rajiv Rishyakaran berkata saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) itu khusus untuk individu berpendapatan rendah (B40).

“Saya teruja untuk berkongsi berita gembira bahawa kita memperluaskan inisiatif ini dengan menambah dua lokasi baharu iaitu di Pusat Rakan Muda Kompleks Arena PJ dan Dewan Serbaguna MBPJ.

“Menariknya mereka yang melakukan ujian ini hanya dikenakan bayaran serendah RM70. Mari bersama kita putuskan rantaian Covid-19,” katanya di Twitter.

Menurut Rajiv, waktu operasi di Pusat Rakan Muda Kompleks Arena PJ bermula dari jam 10 pagi hingga 7 petang manakala Dewan Serbaguna MBPJ, jam 1 tengah hari hingga 5 petang setiap Isnin hingga Ahad kecuali cuti umum.

Sebelum ini, Ahli Dewan Negeri itu menawarkan khidmat saringan Covid-19 kepada penduduk DUN berkenaan diĀ  PJ Polyclinic, Klinik Kim dekat Petaling Jaya dan Klinik One Medic, Puchong .