Categories
AGENDA NASIONAL

Individu sudah beli tiket dibenar teruskan perjalanan

SHAH ALAM, 12 JAN: Individu yang sudah membeli tiket bas, kereta api dan kapal terbang dibenar meneruskan perjalanan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa tengah malam ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata kelonggaran diberikan sehingga Jumaat ini bagi kes tertentu.

“Kita tidak minta mereka batalkan (tiket) tetapi boleh teruskan perjalanan dan penerbangan tersebut. Kelonggaran ini hanya untuk mereka yang mempunyai sebab tertentu.

“Saya sudah bincangkan kes tertentu untuk dibenarkan kerana difahamkan ada yang masih berada di kampung kerana melawat keluarga sakit di hospital.

“Jadi, jangan bimbang kalau mereka terperangkap di kampung. Seperti PKP dahulu kita terpaksa buat program khusus untuk membenarkan mereka yang terpisah dengan keluarga,” katanya pada sidang media hari ini.