Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan disaran guna kit ujian pantas antigen lebih meluas

SHAH ALAM, 30 JAN: Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menyarankan saringan Covid-19 menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) dilakukan dengan lebih meluas.

Pengerusinya berkata keputusan segera ujian berkenaan membolehkan tindakan awal dilakukan susulan kebimbangan virus semakin merebak dalam komuniti.

“Jika kita lakukan 1,000 saringan dan keputusannya adalah 200 kes positif atau pada kadar 20 peratus, ini bermaksud virus sedang merebak dalam komuniti.

“Perebakan wabak dianggap terkawal apabila hasil saringan mendapati hanya ada 50 kes positif atau lebih rendah,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi kenyataan hari ini.

Mantan menteri kesihatan berkata Malaysia pernah merekodkan kadar jangkitan pada tahap sembilan peratus tetapi kini turun kepada 5.8 peratus.

“Semua pihak perlu melakukan langkah pencegahan bagi memastikan kadar jangkitan di bawah paras lima peratus seperti ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.

Semalam pegawai perubatan Institusi Penyelidikan Klinikal Negara (CRC) mencadangkan kerajaan menggunakan RTK-Ag mengganti ujian tindak balas berantai polimeras masa nyata (rt-PCR).

Arvinder Singh HS berkata rt-PCR mengambil masa lama untuk diproses meskipun kaedah itu mampu mengesan virus Covid-19 yang mati.