Categories
PBT SELANGOR

MPK tutup 37 kilang akibat langgar SOP

SHAH ALAM, 29 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menutup 37 kilang susulan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang dipertuanya berkata penutupan itu hasil pemeriksaan terhadap 104 premis itu bersama Pejabat Kesihatan Daerah Klang sejak Mac tahun lalu sehingga Rabu lalu.

“Pemantauan yang lebih tegas diambil ke atas kilang berkaitan memandangkan pekerja dalam sektor ini menyumbang kepada peningkatan kes positif Covid-19 yang berlaku di Klang,” kata Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin kepada SelangorKini.

Beliau berkata pemantauan pematuhan SOP diperluaskan ke kawasan perkilangan setelah sektor berkenaan dibenarkan beroperasi seperti biasa.

“Kita membuat empat penilaian risiko sebelum mengambil tindakan iaitu risiko merebaknya Covid-19 di tempat kerja atau asrama pekerja serta faktor persekitaran dan manusia.

“Seterusnya ialah amalan kawalan kendiri di kalangan pekerja dan syarikat serta prosedur tindakan setelah berlaku kes di kalangan pekerja,” katanya.