Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor hulur bantuan KISS untuk wanita terpaksa curi makanan, ubat

SHAH ALAM, 22 JAN: Kerajaan Negeri sedia menawarkan bantuan kepada wanita didakwa mencuri ubat dan makanan di sebuah pasar raya di Petaling Jaya kelmarin.

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan RM200 menerusi Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) di bawah program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) membolehkan ibu tiga anak itu membeli barangan keperluan asas setiap bulan.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan bagaimanapun wanita tersebut perlu mendaftar bagi tujuan itu berikutan alamat kediaman sebelum ini di Pahang, lapor BH Online.

“Saya tersentuh dengan perkara ini apatah lagi di Selangor kita mempunyai program khusus untuk mereka memerlukan. Insya-Allah kita akan menguruskan bantuan KISS.

“Cuma untuk peringkat awal, ibu ini perlu mendaftar dan segala urusannya akan dipermudahkan segera,” katanya yang mengadakan lawatan mengejut di kediaman wanita berkenaan di Lembah Subang malam tadi.

Amirudin ditemani Ahli Dewan Negeri Seri Setia Halimey Abu Bakar dan dua pembantunya turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga berkenaan.

Beliau berkata, kunjungan dibuat selepas menyedari kisah wanita berusia 30-an ditahan pengawal keselamatan sebuah pasar raya disiarkan media semalam.

Sementara itu, Lembaga Zakat Selangor memaklumkan ibu berkenaan merupakan asnaf berdaftar sejak 2018.

Keluarga itu menerima bantuan kewangan bulanan, bantuan hari raya dan keperluan sekolah namun agensi itu berkata akan melihat semula keperluan mereka susulan kejadian berkenaan.

Individu tersebut dikatakan gagal membayar pelekat Kool Fever, sosej dan kek berjumlah RM58 untuk anak-anaknya, seorang daripada mereka mengalami demam.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal turut tampil membantu wanita itu termasuk tidak meneruskan tindakan (NFA) atas jenayah dilakukan.