Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

2,365 penghuni empat PPR terima baucar RM350

SHAH ALAM, 19 FEB: Seramai 2,365 penghuni di empat Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Selangor bakal menerima baucar sebanyak RM350, kata EXCO perumahan.

Rodziah Ismail berkata inisiatif itu diberikan secara berperingkat dalam tempoh enam bulan bermula bulan ini (RM50), Mac (RM50), April (RM50), Mei (RM100), Jun (RM50) dan Julai (RM50) melibatkan implikasi kewangan lebih RM800,000.

“Kita harap baucar ini sedikit sebanyak meringankan beban penghuni PPR di bandar untuk membeli keperluan harian keluarga.

“Selain itu Kerajaan Negeri juga sedang merangka pelbagai program antaranya memastikan kanak-kanak di PPR menerima makanan seimbang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Simbolik Penyerahan Dana Bantuan Bakul Makanan di Kediaman Rasmi Menteri Besar, semalam.

Empat PPR di bawah Kerajaan Negeri ialah Kota Damansara, Kampung Baru Hicom di Shah Alam, Serendah di Rawang dan Council Homes di Bandar Baru Bangi.

Sebelum ini penghuni PPR turut menikmati pengecualian sewa bulan Januari dan penangguhan sewa Februari dan Mac untuk 2,365 penyewa PPR dan penangguhan sewa tiga bulan (Januari- Mac) untuk 450 penyewa Skim Smart Sewa melibatkan kos RM2.7 juta.

Inisiatif tersebut antara yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor bagi meringankan beban rakyat untuk mendepani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.