Categories
AGENDA NASIONAL

994 pembakaran terbuka direkod di Selangor sejak Januari

SHAH ALAM, 26 FEB: Sebanyak 994 kes pembakaran terbuka melibatkan kawasan seluas 8,140 hektar direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor sejak Januari lepas hingga semalam.

Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis berkata daripada jumlah itu 75 kes melibatkan pembakaran terbuka di kawasan kebun dan ladang, hutan (230 kes), belukar dan lalang (464 kes) serta tempat pembuangan sampah haram (225 kes).

“Disebabkan sekarang ini cuaca agak panas dan kering, ada juga kes pembakaran terbuka berlaku di lokasi sama sebanyak tiga hingga empat kali contohnya di pinggir hutan.

“Buat masa ini, tiga kes kebakaran iaitu di pinggir Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, hutan gambut berdekatan Lebuhraya ELITE di Cyberjaya serta tanah gambut di Jalan Nenas Meru yang berlaku pada Selasa dan Rabu lepas masih giat dipadamkan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kempen Sanitasi Awam Kampus Management and Science University (MSU) di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal JBPM Selangor mendapati pembakaran haram yang berlaku di pinggir Hutan Simpan Kuala Langat Selatan dipercayai dilakukan secara sengaja oleh individu tertentu dan pihaknya akan membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

Ditanya mengenai suntikan vaksin Covid-19 terhadap anggota dan pegawai JBPM Selangor, Norazam berkata untuk fasa pertama, lebih 900 daripada 1,700 kakitangan jabatan itu telah didaftarkan manakala selebihnya untuk peringkat seterusnya.

“Buat masa ini, kita sedang menunggu Jabatan Kesihatan Negeri Selangor untuk memberikan tarikh dan lokasi bagi anggota serta pegawai terlibat menerima suntikan vaksin Covid-19,” katanya.

Mengulas mengenai kempen sanitasi awam itu pula, beliau berkata kerjasama MSU dengan JBPM Selangor menunjukkan kesediaan institusi pengajian tinggi swasta berkenaan dalam mewujudkan keadaan yang selamat untuk menerima kemasukan pelajarnya Isnin ini.

Tambah beliau, bagi tempoh Januari lepas hingga semalam juga 258 sanitasi awam telah dilakukan pihaknya melibatkan sekolah, premis kerajaan, rumah ibadat, kawasan perumahan dan lain-lain lokasi.

– BERNAMA