Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba: Keadaan banjir di Selangor terkawal, air makin surut

SHAH ALAM, 8 MAC: Hujan lebat yang berlaku di beberapa kawasan sekitar Selangor petang tadi tidak menyebabkan kenaikan air sungai yang mendadak dan kesemua kawasan terjejas dengan banjir kilat semalam kini dalam keadaan terkawal.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata paras air di kawasan terjejas iaitu di sekitar Hulu Langat, Gombak dan Petaling, kini menunjukkan aliran air banjir semakin surut dan tiada perpindahan mangsa banjir baharu direkodkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Namun Norazam berkata berlaku hakisan ban di Bukit Changgang petang tadi susulan hujan akibat tekanan air Sungai Langat yang deras dan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran dalam proses melakukan kerja pembaikan di ban tersebut dan keadaan kini terkawal.

“Susulan itu juga, kita sudah tempatkan empat buah bot di kawasan berkenaan dan anggota bersiap siaga sekiranya berlaku kecemasan dan pihak kita masih melakukan pemantauan di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Terdahulu, tinjauan Bernama di PPS Dewan Kenangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini mendapati kebanyakan mangsa banjir berlindung di PPS itu atas inisiatif sendiri, selain mendapat nasihat daripada pihak berkuat kuasa susulan keadaan air Sungai Klang semalam yang berada di paras bahaya.

Penghuni PPS dari Kampung Lanchong Jaya, Edison Ali, 41, dan Fatonah Abdul Ghoni, 46, berkata walaupun kawasan rumah mereka tidak dinaiki air, pasangan suami isteri itu tetap membawa tiga anak mereka termasuk Muhammad Qhaleef Shah, sembilan tahun, yang terpaksa menjalani pantang berkhatan hari pertamanya di PPS itu.

“Balik dari program berkhatan perdana semalam, anak sempat rehat beberapa jam sahaja. Kira-kira selepas Asar, pengurusan kampung memaklumkan paras air Sungai Klang yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah di paras bahaya. Dalam satu kaki sahaja lagi mahu melimpah.

“Risau peristiwa banjir 18 Dis tahun lepas berulang kembali, saya dan isteri ambil keputusan terus berpindah walaupun air belum melimpah dan memasuki kawasan rumah,” katanya.

Seorang lagi mangsa Norliza Hussein, 54, berkata beliau dan tiga anaknya terus berkemas untuk ke PPS selepas dimaklumkan pihak pengurusan kampung berhubung situasi air Sungai Klang di belakang rumahnya yang hampir melimpah.

“Air memang tidak masuk rumah lagi. Tapi separuh yang ada di PPS ini datang dari Kampung Lanchong Jaya yang pernah rasa keadaan buruk banjir yang lepas. Takut dengan keadaan itu kami ikut sahaja segala arahan, pastikan nyawa selamat dahulu,” katanya.

Sementara itu Ahli Majlis MBSA Zon 10 Saribanon Saibon, 54, yang mengawal selia kawasan di Seksyen 26, 27, 28 dan 33 di sini berkata sehingga kini pihaknya menasihatkan 144 mangsa daripada 44 keluarga untuk kekal mendiami PPS tersebut sehingga ramalan hujan dan ribut berakhir hujung minggu ini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi ciapan di Twitter rasmi memaklumkan setakat 4 petang, sebanyak tujuh PPS masih beroperasi melibatkan 1,030 individu daripada 264 keluarga dari daerah Gombak, Hulu Langat dan Petaling.

– BERNAMA

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Bomba: Ban Taman Sri Muda pecah, tiada limpahan ke kediaman penduduk

SHAH ALAM, 2 MAC: Sebuah ban berhampiran pintu kunci air di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini pecah dipercayai akibat hujan lebat di kawasan tersebut petang tadi.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian daripada penduduk pada 8.15 malam sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam tiba di lokasi 14 minit kemudian.

“Keadaan di lokasi terkawal. Kerja pembaikan sedang dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran,” katanya dalam kenyataan.

Jabatan Pengairan dan Saliran menghantar jengkaut untuk membaiki ban pecah berhampiran pintu kunci air di Taman Sri Muda, Seksyen 25 pada 2 Mac 2022. Foto ihsan Sinar Harian

Norazam berkata pihaknya turut menggerakkan lima bot ke lokasi kejadian sebagai langkah berjaga-jaga.

“Bomba akan terus berada di lokasi sehingga air pasang pada 12 tengah malam ini untuk memantau paras air. Setakat ini tiada limpahan air ke kawasan kediaman penduduk,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Gempa bumi: Bomba Selangor terima panggilan bangunan bergegar, tiada kecederaan dilapor

SHAH ALAM, 25 FEB: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima enam panggilan kecemasan susulan gempa bumi yang melanda Sumatera, Indonesia pagi ini.

Penolong pengarah operasinya berkata empat laporan gegaran bangunan diterima pada jam 9.48 pagi melibatkan Mahkamah Telok Datok, Banting; Jalan TPP2 Taman Perindustrian Puchong; Jalan PJS 5/27 Taman Medan dan Jalan Zamrud 1 Kajang.

Hafisham Mohd Noor memaklumkan pihaknya turut menerima panggilan kecemasan pada jam 9.49 dan 9.50 pagi melibatkan kawasan di USJ 10/1, Subang Jaya serta Hotel Hilton Petaling Jaya.

“Setakat ini tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan pihak bomba akan membuat pemantauan di lokasi kejadian dari semasa ke semasa,” katanya menerusi kenyataan.

Gempa bumi berukuran 6.1 magnitud menggegarkan utara Sumatera, Indonesia pagi ini.

Jabatan Meterologi memaklumkan kejadian pada 9.39 pagi menyebabkan negeri barat Semenanjung Malaysia melibatkan Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor turut mengalami gegaran.

Bagaimanapun tiada ancaman tsunami dilaporkan berlaku di negara ini.

Gempa berkenaan berlaku di kawasan 76 kilometer (km) Barat Laut dari Payakumbuh, Indonesia dengan kedalaman 10 km.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

10 termasuk sembilan beranak maut nahas empat kenderaan

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Sepuluh individu maut dalam kemalangan melibatkan tiga kereta dan sebuah treler di kawasan Rehat & Rawat USJ Lebuhraya ELITE menghala Shah Alam, malam tadi.

Mangsa yang meninggal dunia ialah lima kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan serta seorang lelaki dan seorang wanita.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata kemalangan membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler.

Beliau berkata sepasukan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dan BBP Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan jam 11.42 malam tadi untuk operasi menyelamat.

“Nahas berkenaan melibatkan 17 mangsa yang 10 daripadanya disahkan meninggal dunia. Mangsa yang maut adalah seorang lelaki dan seorang wanita manakala lapan lagi membabitkan lima kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Norazam berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Norul Naziah Buyong, 37, dan lapan anaknya iaitu bayi lelaki berusia 10 bulan, Muhammad Raid Fathi Abd Razak, Puteri Nur Ain Syalwana Abd Razak, 3; Muhammad Hidayat Hakimie Abd Razak, 7; Muhamad Rolkaizat Rezky Abd Razak, 9; Muhamad Aizat Syazwan Abd Razak, 10; Puteri Hidayah Abd Razak, 12; Razatul Aliah Abd Razak, 16; Muhamad Razarul Amin Abd Razak, 17.

Seorang lagi yang maut ialah mekanik Mohamad Rahimibin Rolex berusia 27 tahun.

“Mangsa yang cedera suami kepada Norul Naziah dikenali sebagai Abd Razak Majit, 50; dan sepupu mereka Mimie Nafiesa Abdullah, 19; Ihyat Sufi Shokip serta Ummi Nasuha Annuwar masing-masing berusia 20 tahun,” katanya.

Kesemua mayat dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

Beliau berkata individu yang menaiki treler tidak mengalami sebarang kecederaan dikenali sebagai Mohd Khairol Kamal Abdullah, 45; serta dua anaknya Haiqal Haziq, 19; dan Hafiey Hamziey, 14.

– BERNAMA

10 maut dalam kemalangan tiga kereta dan sebuah treler di R&R USJ Lebuhraya ELITE, awal pagi ini. Foto Bomba Selangor
Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Banjir kilat: 15 rumah dinaiki air, lima kenderaan terkandas di Klang

SHAH ALAM, 20 OKT: Sebanyak 15 rumah di Jalan Mohd Yamin, Klang dinaiki air susulan limpahan air sungai akibat hujan lebat petang tadi.

Pengarah Bomba Selangor berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu dan tiba di lokasi kejadian sekitar jam 5.55 petang.

“Seramai lapan anggota dari Balai Bomba Penyelamat Klang dan Banting dikejar ke lokasi dan didapati kedalaman banjir dianggar sedalam 1.8 meter.

Anggota bomba membantu mangsa banjir di Jalan Mohd Yamin, Klang petang tadi. Foto Ihsan Bomba Selangor

“Sebanyak 15 rumah terbabit dalam kejadian itu dengan kerja mengeluarkan mangsa sedang dilakukan,” kata Norazam Khamis menerusi kenyataan.

Beliau berkata setakat ini jumlah mangsa sedang dikenal pasti.

Sementara itu, dalam kejadian banjir kilat di Persiaran Bukit Raja 2, Klang, Norazam berkata sebanyak lima kenderaan terkandas di jalan raya.

“Anggota dari Balai Bomba Penyelamat Sungai Pinang tiba di lokasi kejadian pada jam 5.30 petang dengan pemandu terlibat telah diarah keluar dari kenderaan masing-masing,” katanya yang memaklumkan kedalaman banjir di lokasi sedalam 1.2 meter.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Pokok tumbang hempap kereta, dua beranak selamat

SHAH ALAM, 30 SEPT: Berpantang maut sebelum ajal, demikian detik cemas dilalui dua beranak yang terselamat selepas kenderaan dinaiki dihempap pokok tumbang di Jalan Raja Nong menghala ke Taman Sentosa, Klang pagi tadi.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis dalam kenyataan berkata insiden tersebut melibatkan sebatang pokok getah setinggi 80 kaki tumbang melintang jalan dan menghempap kereta jenis Proton Exora yang dipandu seorang bapa berumur 50-an.

“Kereta tersebut turut dinaiki anak lelakinya berusia 17 tahun,” katanya.

Menurut Norazam dua beranak itu berjaya keluar sendiri dari kenderaan tersebut tanpa sebarang kecederaan sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian pada pukul 9.22 pagi.

Pihak bomba telah memotong dan mengalihkan pokok tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kebakaran kilang kitar semula plastik di Pelabuhan Klang terkawal

SHAH ALAM, 12 OGOS: Sebuah kilang barangan kitar semula plastik di kawasan perindustrian Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang, dekat sini, yang mengalami kebakaran malam tadi, kini dalam keadaan terkawal.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata kebakaran yang berlaku sebelum pukul 9 malam itu, sudah dapat dikawal namun proses pemadaman sepenuhnya akan mengambil masa kerana melibatkan barangan plastik.

“Kami sudah kawal api daripada marak ke bangunan sebelah dan api semakin mengecil sekarang. Alhamdulillah buat masa ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan para pekerja di bangunan tersebut dipercayai berjaya menyelamatkan diri. Proses pemadaman kini giat dijalankan.

“Buat masa ini saya tidak boleh nak bagi maklumat lanjut lagi. Seramai 60 anggota dan pegawai terlibat dalam operasi pemadamanan yang memusnahkan 90 peratus premis kilang itu,” katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.

Norazam berkata demikian bagi mengulas ringkas berhubung perkembangan situasi kebakaran di kawasan Pelabuhan Klang itu selepas tular di Facebook rakaman video 20 saat berhubung insiden berkenaan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

994 pembakaran terbuka direkod di Selangor sejak Januari

SHAH ALAM, 26 FEB: Sebanyak 994 kes pembakaran terbuka melibatkan kawasan seluas 8,140 hektar direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor sejak Januari lepas hingga semalam.

Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis berkata daripada jumlah itu 75 kes melibatkan pembakaran terbuka di kawasan kebun dan ladang, hutan (230 kes), belukar dan lalang (464 kes) serta tempat pembuangan sampah haram (225 kes).

“Disebabkan sekarang ini cuaca agak panas dan kering, ada juga kes pembakaran terbuka berlaku di lokasi sama sebanyak tiga hingga empat kali contohnya di pinggir hutan.

“Buat masa ini, tiga kes kebakaran iaitu di pinggir Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, hutan gambut berdekatan Lebuhraya ELITE di Cyberjaya serta tanah gambut di Jalan Nenas Meru yang berlaku pada Selasa dan Rabu lepas masih giat dipadamkan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kempen Sanitasi Awam Kampus Management and Science University (MSU) di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal JBPM Selangor mendapati pembakaran haram yang berlaku di pinggir Hutan Simpan Kuala Langat Selatan dipercayai dilakukan secara sengaja oleh individu tertentu dan pihaknya akan membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

Ditanya mengenai suntikan vaksin Covid-19 terhadap anggota dan pegawai JBPM Selangor, Norazam berkata untuk fasa pertama, lebih 900 daripada 1,700 kakitangan jabatan itu telah didaftarkan manakala selebihnya untuk peringkat seterusnya.

“Buat masa ini, kita sedang menunggu Jabatan Kesihatan Negeri Selangor untuk memberikan tarikh dan lokasi bagi anggota serta pegawai terlibat menerima suntikan vaksin Covid-19,” katanya.

Mengulas mengenai kempen sanitasi awam itu pula, beliau berkata kerjasama MSU dengan JBPM Selangor menunjukkan kesediaan institusi pengajian tinggi swasta berkenaan dalam mewujudkan keadaan yang selamat untuk menerima kemasukan pelajarnya Isnin ini.

Tambah beliau, bagi tempoh Januari lepas hingga semalam juga 258 sanitasi awam telah dilakukan pihaknya melibatkan sekolah, premis kerajaan, rumah ibadat, kawasan perumahan dan lain-lain lokasi.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Banjir di Hulu Selangor, 84 mangsa dipindah ke PPS

SHAH ALAM, 3 JAN: Seramai 84 mangsa banjir dari empat kampung di Hulu Selangor dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Selisek selepas rumah mereka dinaiki air berikutan hujan berterusan sejak awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata kampung terlibat ialah Kampung Masjid, Kampung Sekolah, Kampung Paya Lebar dan Kampung Sungai Nilam.

“Pihak bomba terima panggilan mengenai laporan kejadian banjir  jam 4.07 petang tadi. Pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dengan kekuatan 10 anggota tiba di lokasi jam 5.11 petang untuk memindahkan mangsa,” kata Norazam Khamis dalam kenyataan.

Menurutnya, susulan kejadian itu satu jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan, pacuan empat roda dan bot penyelamat dihantar ke lokasi.

Beliau berkata jumlah mangsa dijangka bertambah malam ini kerana hujan berterusan dan paras air banjir yang semakin meningkat di Kampung Selisek.

Pihak bomba akan terus memantau dan mengambil tindakan kejadian banjir yang berlaku dan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bomba Selangor: Lebih 900 agensi, pasar awam disanitasi

SHAH ALAM, 27 OKT: Sebanyak 916 lokasi termasuk 600 agensi kerajaan dan pasar awam disanitasi sejak Mac hingga hari ini, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor.

Pengarahnya berkata proses nyahkuman bagi mengelak penularan Covid-19 turut dilakukan di bangunan yang tidak merekodkan sebarang kes.

“Bagaimanapun lokasi menjadi tumpuan umum diberi keutamaan memandangkan risiko jangkitan tinggi.

“Setakat ini proses sanitasi banyak dilakukan di daerah Petaling diikuti Hulu Langat dan Klang,” kata Norazam Khamis kepada pemberita selepas operasi sanitasi Pusat Transformasi Bandar (UTC) Anggerik Mall hari ini.

Jelas beliau, pihaknya mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) bagi setiap operasi yang dijalankan.

“Antaranya anggota perlu mencuci tapak kasut menggunakan cecair peluntur sebelum operasi dan badan akan disembur bahan sama selepas itu.

“Setiap anggota mempunyai peranan masing-masing bagi memastikan operasi dilakukan berkesan dan tidak mendatangkan mudarat,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pasukan Hazmat bantu bomba Ops Sanitasi seluruh Selangor

SHAH ALAM, 15 APRIL: Seramai 376 anggota bomba Selangor termasuk Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) terbabit Ops Sanitasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjalan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata ops berkenaan dijalankan di seluruh negeri ini termasuk kawasan yang diisytiharkan zon merah.

“Kira-kira 1,400 anggota bomba Selangor terbabit dalam PKP ini namun untuk Ops Sanitasi hanya membabitkan 376 anggota sahaja.

“Selain disertai anggota Hazmat, ops ini turut dibantu Bahagian Kejuruteraan dan bekerjasama dengan agensi lain,” katanya.

Sehingga hari ini, enam daerah di Selangor diisytihar zon merah kerana mempunyai lebih 40 kes Covid-19.

Daerah berkenaan ialah Hulu Langat, Petaling, Klang, Gombak, Sepang dan Hulu Selangor.

Categories
SELANGOR

Covid-19: Bomba buat sanitasi awam di Pangsapuri Tun Teja Fasa 2

Khairul Azran Hussin

RAWANG, 12 APRIL: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menjalankan operasi sanitasi awam membendung penularan Covid-19 di Perumahan Pangsapuri Tun Teja Fasa 2 di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang, Zaidi Ahtan berkata operasi semburan nyah kuman dijalankan selama lebih enam jam membabitkan 550 unit rumah, lapor Berita Harian.

“Kami dibantu pasukan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya ( Hazmat), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jabatan Perumahan Negara (JPN) dan wakil persatuan penduduk pangsapuri,” katanya.

Zaidi berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia melakukan operasi semburan nyah kuman sekitar Rawang secara berkala susulan daerah Gombak kini berada dalam zon merah penularan wabak.

“Pada Jumaat lalu kami juga menjalankan operasi sama di Taman Desa Mas, Rawang membabitkan penduduk perumahan di situ,” katanya.