Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 45 kes baharu di Thailand, sifar kematian

BANGKOK, 27 FEB: Situasi penularan wabak Covid-19 di Thailand terus bertambah baik dengan jumlah kes harian baharu turun di bawah angka 50 kes buat pertama kalinya, sejak pertengahan Disember tahun lepas.

Dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand merekodkan 45 kes baharu Covid-19 dengan sifar kematian menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan 25,809 dan 83 kematian.

Dalam kenyataan, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) berkata daripada 45 kes baharu itu, 37 kes adalah penularan tempatan termasuk 32 kes adalah sedang mendapatkan rawatan di hospital dan lima melalui pengesanan kes aktif.

Menurut kenyataan itu, sebanyak lapan kes import yang dilaporkan termasuk seorang gadis Thailand berusia enam tahun yang pulang dari United Kingdom.

Sementara itu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha dan Timbalan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul akan menjadi antara penerima pertama vaksin Ahad ini, bagi membantu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keselamatan dan keberkesanan vaksin Covid-19.

Program vaksinasi berkenaan akan dilancarkan pada Isnin.

Thailand telah menerima sebanyak 317,000 dos vaksin Covid-19, dengan 200,000 dos daripada Sinovac Biotech China dan 117,000 dos dari Oxford-AstraZenec.

– BERNAMA