Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19 kekal angka 3,000, kes sembuh melebihi jangkitan baharu

SHAH ALAM, 13 FEB: Kes sembuh Covid-19 dalam negara hari ini terus mengatasi kes harian dengan 3,515 kes menjadikan keseluruhan pulih 209,289.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 3,499 kes positif baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam.

“Sebanyak 3,498 kes adalah penularan tempatan iaitu 1,871 warganegara manakala 1,627 warga asing manakala satu lagi kes import membabitkan warganegara.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 51,558,” katanya menerusi Twitter.

Beliau menambah terdapat pertambahan lima kematian dengan kesemuanya warga tempatan menjadikan jumlah korban sebanyak 958 kes.

Menurutnya, sehingga kini sebanyak 263 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 118 kes memerlukan bantuan pernafasan.