Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jamin kualiti tanaman, petani gembira dapat baja kompos

HULU LANGAT, 26 FEB: Petani sekitar pekan Beranang menyambut baik sumbangan baja kompos oleh Kerajaan Negeri bagi menghasilkan tanaman yang lebih berkualiti.

Pengusaha makanan ternakan ruminan Mazlina Kamaruzaman, 54, berkata baja bersifat mesra alam membolehkan tanaman rumput gajah yang diusahakannya menjadi lebih besar dan sihat.

Mazlina Kamaruzaman

“Semoga tanaman saya seluas lima ekar akan menjadi lebih subur, terima kasih Kerajaan Negeri kerana tidak melupakan warga tani di Beranang,” katanya yang menerima lima beg baja kompos.

Seorang lagi penerima Shahril Anuar Mohamad, 47, pula berkata bantuan itu meringankan beban petani terutama ketika mendepani pandemik Covid-19.

Dia yang mengusahakan tanaman pisang memaklumkan baja mencecah ratusan ringgit itu dijamin lebih selamat dan menjadikan apa juga jenis tumbuhan lebih segar.

Kedua-dua penerima berkenaan antara 40 warga tani di daerah tersebut yang menerima sumbangan baja kompos seberat 6,400kg dari Kerajaan Selangor semalam.

Tahun ini, bantuan baja tersebut ditambah kepada 500 tan, meningkat lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya bagi membantu petani seluruh negeri.