Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB jumpa menteri sains esok, bincang bekalan vaksin negeri

SHAH ALAM, 21 FEB: Status bekalan dan agihan vaksin Covid-19 di Selangor akan dibincangkan esok bersama kementerian terlibat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Kerajaan Negeri juga bersedia membantu mempercepatkan proses tersebut jika perlu seperti diputuskan sebelum ini.

“Perkara ini sudah dibincangkan bersama menteri kesihatan dan menteri sains, harap semuanya berjalan lancar dan disiplin paling penting.

“Saya titik beratkan komunikasi berkesan supaya rakyat faham bila masa yang sesuai untuk dapat vaksin kerana orang akan berpusu…kena tunggu, jadual ada,” katanya selepas meninjau Saringan Komuniti Covid-19 di sini hari ini.

Menurut Amirudin, Kerajaan Negeri juga sedang giat mengenal pasti petugas hadapan yang berada dalam kumpulan pertama untuk menerima suntikan vaksin.

Bekalan vaksin Pfizer-BioNTech dari Belgium tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pagi tadi dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines MH604 dihiasi Jalur Gemilang.

Sementara itu, Amirudin menasihatkan golongan antivaksin mempertimbang hujah dan menilai bukti berhubung kajian klinikal terhadap penggunaanya.

“Dapatan ramai pihak termasuk persatuan perubatan muslim profesional tidak menunjukkan sentimen dibangkitkan mereka.

“Ikut Majlis Fatwa Selangor, pengambilan vaksin harus untuk kesihatan. Maqasid syariah juga minta kita pertahankan nyawa jadi mereka (antivaksin) perlu pertimbangkan,” tegasnya.