Categories
AGENDA NASIONAL

Ibu bapa lebih terbuka anak divaksin, perlu sebar maklumat tepat

SEREMBAN, 11 MAC: Ibu bapa kini dilihat lebih bersifat terbuka membenarkan anak-anak mereka divaksin, selepas kerajaan memberi pilihan menggunakan vaksin Comirnaty (Pfizer) atau vaksin CoronaVac (Sinovac).

Pakar Pediatrik Pusat Perubatan Mawar Dr Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi berkata langkah kerajaan membenarkan pemberian vaksin Sinovac, untuk Program Vaksinasi Covid-19 kepada Kanak-Kanak (PICKids) merupakan tindakan proaktif, selain memberi pilihan kepada ibu bapa tanpa sebarang diskriminasi.

“Mereka perlu mempercepatkan proses pengambilan vaskin kepada anak-anak sebagai langkah perlindungan, daripada wabak Covid-19.

“Saya berpendapat ibu bapa ini bukan tidak mahu anak mereka dicucuk (vaksin Covid-19) tetapi mereka takut, jadi kena ada orang yang boleh menjawab kerisauan dan kegusaran mereka,” katanya ketika ditemui pemberita pada PICKids di Pusat Perubatan Mawar di sini hari ini.

Beliau berkata sebelum ini kebimbangan ibu bapa kerana mereka tidak mendapat maklumat yang tepat tentang keselamatan atau kesan sampingan selepas anak divaksin.

Beliau berkata ia juga disebabkan segelintir ibu bapa kurang memahami maklumat yang diberikan, sebaliknya terpengaruh dengan maklumat menerusi TikTok, Instagram dan Facebook.

“Secara keseluruhan ibu bapa mahu melindungi anak mereka, tetapi pihak berwajib perlu memberi jawapan yang meyakinkan tentang risiko vaksinasi,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) mula menawarkan vaksin Sinovac di Pusat Pemberian Vakin (PPV) terpilih bagi PICKids bermula 7 Mac, dan diberi pilihan untuk mendapatkan vaksin Sinovac kepada anak mereka sekiranya tidak bersetuju memberikan pelalian jenis Pfizer.

Sementara itu, guru tadika Normazura Kamaruddin, 40, berkata dua orang anak lelakinya Aiman Qusyairee Noor Nashriq, 10, dan Anas Al Qayyeed Noor Nashriq, 7, sejak dari awal lagi sudah bersemangat untuk menerima vaksin, apabila seawal 6 pagi sudah bangun untuk menerima suntikan vaksin pada hari ini.

“Awal-awal lagi saya sudah menerangkan kebaikan dan tujuan mengambil vaksin demi melindungi kesihatan. Alhamdulillah…mereka tidak menolak dan saya sekarang berasa lega kerana mereka lebih selamat ke sekolah selepas divaksin,” katanya.

Bagi penerima vaksin, Wan Rizq Wan Mohd Satmi, 11, berkongsi rasa gembira selain menyifatkan tidak berasa bimbang atau sakit, setelah menerima vaksin pada hari ini.

“Saya sendiri beritahu mak ayah nak suntik vaksin… kawan-kawan kat luar sana jangan takut sebab tak sakit pun suntikan vaksin,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 15 juta populasi dewasa dapat dos penggalak

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Seramai 15,113,923 individu dewasa atau 64.2 peratus daripada populasi kumpulan itu di negara ini telah menerima dos penggalak Covid-19 setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web CovidNow, sejumlah 22,930,441 atau 97.5 peratus daripada populasi sama telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 23,207,220 atau 98.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, sebanyak 1,060,063 individu atau 29.9 peratus kumpulan itu telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Sementara itu, bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sebanyak 2,832,919 individu atau 91 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,933,324 atau 94.2 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Vaksinasi harian semalam menyaksikan sebanyak 68,624 dos vaksin diberikan meliputi 19,511 dos pertama, 1,835 dos kedua dan 47,278 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 67,869,343.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 79 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Johor merekodkan angka tertinggi iaitu 16 kes, diikuti Kedah dan Perak masing-masing 13 kes.

Selangor merekodkan 11 kes, Pahang dan Sabah masing-masing lima kes, Kelantan (empat), Melaka (tiga), masing-masing dua kes di Pulau Pinang, Sarawak, Kuala Lumpur dan Putrajaya manakala Negeri Sembilan (satu).

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pakar: Rakyat bersedia ke arah endemik, vaksin mampu kawal wabak

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Pakar kesihatan berpandangan bahawa rakyat Malaysia dilihat sudah bersedia memasuki Fasa ‘Peralihan ke Endemik’ dengan pendedahan maklumat yang begitu meluas berhubung Covid-19 sejak wabak itu melanda negara hampir dua tahun.

Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik) Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Malina Osman berkata dengan jumlah vaksinasi lengkap dan dos penggalak serta vaksinasi kanak-kanak yang kini giat dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) mampu mengawal wabak apabila memasuki Fasa ‘Peralihan ke Endemik’ bermula 1 April.

“Saya percaya kerajaan sudah memperkasakan masyarakat dengan pengetahuan tentang wabak Covid-19 ini dan mereka sepatutnya mempunyai kesedaran serta membuat keputusan yang terbaik dalam melindungi diri daripada mendapat jangkitan.

“Mereka sepatutnya menjaga diri sendiri kerana maklumat telah diberikan oleh KKM sejak wabak ini melanda negara,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Dr Malina juga menasihatkan masyarakat untuk terus menjaga tatacara operasi piawai (SOP) walaupun beberapa kelonggaran telah diberikan oleh kerajaan.

“Kita harus tahu sebenarnya ada segelintir golongan yang tidak boleh divaksin disebabkan oleh faktor kesihatan dan golongan inilah yang perlu kita lindungi apabila negara beralih ke Fasa ‘Peralihan ke Endemik’.

“Mereka ini adalah golongan rentan, berisiko tinggi serta mempunyai komplikasi serius serta berdepan dengan kematian dan oleh kerana kesan daripada Covid-19 sangat tinggi dalam kalangan mereka, sangat wajar untuk semua rakyat Malaysia mengambil berat kesihatan masing-masing dan mengamalkan cara hidup yang sihat,” katanya.

Seorang kanak-kanak menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (3), Putrajaya pada 16 Februari 2022. Foto BERNAMA

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam Dr Hanafiah Bashirun berkata KKM sudah bersiap siaga dalam berhadapan peralihan fasa itu.

“Kita tidak perlu risau kerana KKM kini sudah mempunyai beberapa perancangan dan pelan yang rapi untuk ke Fasa ‘Peralihan ke Endemik’ ini berbanding waktu permulaan wabak ini melanda negara.

“Dulu kita tiada rawatan, tak bersedia, ventilator tak banyak dan tiada cara pencegahan yang betul, namun selepas dua tahun lebih banyak uji kaji yang telah dilakukan dan kita dah faham macam mana nak rawat kalau berhadapan dengan situasi yang disebabkan Covid-19 ini.

“Walaupun terdapat kes yang dimasukkan ke ICU (unit rawatan rapi) akibat varian baharu Omicron, kita ada pelan tindakan yang lebih tersusun dan kita mampu untuk mengawalnya,” katanya.

Dr Hanafiah juga menasihatkan mereka yang berada dalam sektor pelancongan untuk lebih berhati-hati dan mengekalkan SOP yang lebih ketat susulan pembukaan sempadan negara pada 1 April ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan negara akan memasuki Fasa ‘Peralihan ke Endemik’ bermula 1 April ini iaitu fasa peralihan untuk negara kembali kepada kehidupan hampir normal selepas lebih dua tahun berperang dengan Covid-19.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia kaji kaedah beri vaksin menerusi mulut, semburan hidung

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Malaysia menerusi Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) sedang membangunkan kaedah pemberian vaksin melalui mulut dan semburan hidung, menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Beliau berkata kaedah pemberian vaksin yang berbeza selain melalui suntikan itu sedang diteliti kerana terdapat rakyat yang takut terhadap jarum picagari bagi mendapatkan vaksin.

“Seperti yang kita ketahui antara yang menjadi ketakutan rakyat (mendapatkan vaksin) ialah takut kepada jarum suntikan, maka antara pembangunan yang sedang diusahakan termasuk pemberian vaksin secara oral (mulut) dan nasal spray (semburan hidung),” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) yang bertanyakan sama ada PPVN tertumpu kepada vaksin COVID-19 sahaja atau vaksin-vaksin yang lain serta tempoh pembangunan vaksin COVID-19.

Ahmad Amzad menjelaskan PPVN tidak tertumpu kepada penghasilan vaksin COVID-19 semata-mata, tetapi turut melibatkan kapasiti secara umumnya bagi membolehkan Malaysia menghasilkan vaksin untuk penyakit manusia secara tempatan.

Beliau berkata buat masa ini, Malaysia hanya mempunyai kapasiti untuk menghasilkan vaksin haiwan sahaja.

“Berkaitan tempoh 10 tahun (PPVN) adalah daripada segi pembangunan kapasiti supaya dalam 10 tahun, kita ada kapasiti untuk menghasilkan sepenuhnya pengeluaran vaksin secara tempatan.

Berkenaan calon untuk vaksin, Ahmad Amzad berkata ada beberapa yang telah melepasi fasa praklinikal dan selepas ini akan menjalani ujian terhadap manusia.

“InsyaAllah kalau melihat kepada tahap kajian yang telah dilaksanakan itu, sekitar 2024 kita ada calon vaksin Covid-19 yang pertama,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 900,000 kanak-kanak terima dos pertama vaksin

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Sebanyak 904,368 individu atau 25.5 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web CovidNow, sejumlah 14,736,569 individu atau 62.6 peratus populasi dewasa di negara pula telah menerima dos penggalak Covid-19 dan seramai 22,950,422 atau 97.5 peratus telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 23,230,349 atau 98.7 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sebanyak 2,801,714 individu atau 90 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,897,292 atau 93.1 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Vaksinasi harian semalam menyaksikan 101,038 dos vaksin diberikan meliputi 26,476 dos pertama, 1,300 dos kedua dan 73,262 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 67,313,182.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 78 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan 21 kes di Johor, diikuti Kedah (15), Selangor (13), Perak (sembilan), Sabah (enam), Pulau Pinang (lima), masing-masing dua kes di Kelantan, Melaka dan Terengganu, manakala Negeri Sembilan, Pahang dan Kuala Lumpur masing-masing merekodkan satu kes.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 840,000 kanak-kanak negara terima vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Sebanyak 846,486 individu atau 23.8 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sejumlah 14,578,408 atau 62.0 peratus populasi dewasa di dalam negara pula telah menerima dos penggalak Covid-19 dan seramai 22,948,424 atau 97.5 peratus lengkap vaksinasi manakala 23,228,204 atau 98.7 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,800,661 individu atau 90 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,894,898 atau 93 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 101,136 dos vaksin telah diberikan semalam melibatkan 42,144 suntikan dos pertama, 537 suntikan dos lengkap dan 58,455 suntikan dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 67,089,834 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 40 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Kedah mencatatkan lapan kes, diikuti Johor dan Pulau Pinang masing-masing lima kes, masing-masing empat kes di Perak dan Sabah, tiga kes masing-masing di Kelantan dan Pahang.

Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka pula merekodkan masing-masing dua kes dan satu kes masing-masing di Negeri Sembilan dan Terengganu.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin Covid-19: Segera rawat jika alami kesan sampingan berpanjangan

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Penerima vaksin COVID-19 yang mengalami kesan sampingan serius atau berpanjangan dinasihat merujuk kepada fasiliti kesihatan berhampiran dan mendapatkan rawatan segera.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi akaun Twitter beliau hari ini memaklumkan rawatan segera terhadap kesan sampingan serius vaksin adalah penting agar kesan mudarat dapat dikurangkan dan laporan yang lengkap dapat diperoleh untuk siasatan.

Beliau berkata terdapat empat cara melaporkan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) vaksin COVID-19 iaitu membuat laporan melalui aplikasi MySejahtera bagi mereka yang menghadapi kesan tidak serius.

Selain itu, laporan boleh dibuat secara dalam talian di laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) atau mengisi secara manual borang yang dicetak daripada laman sesawang NPRA dan dihantar melalui e-mel atau pos ke NPRA.

Katanya bagi AEFI serius, laporan hendaklah dibuat melalui anggota kesihatan yang merawat kes itu melalui laman sesawang NPRA atau Pharmacy Information System (PhIS) bagi fasiliti Kementerian Kesihatan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 600,000 kanak-kanak negara terima vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Sebanyak 661,752 individu atau 18.6 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 mereka melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sejumlah 14,274,843 individu atau 60.7 peratus populasi dewasa di negara ini telah menerima dos penggalak Covid-19 dan seramai 22,946,057 atau 97.5 peratus telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 23,224,993 atau 98.7 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sebanyak 2,799,485 individu atau 90.0 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,889,543 atau 92.9 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Vaksinasi harian semalam menyaksikan 143,749 dos vaksin diberikan meliputi 47,876 dos pertama, 493 dos kedua dan 95,380 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 66,589,636.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 55 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Selangor melaporkan 10 kes, diikuti Sabah (9), Johor (8), Perak (7), masing-masing empat kes di Kedah, Melaka dan Pahang, masing-masing tiga kes di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, manakala satu kes direkodkan masing-masing di Kelantan, Negeri Sembilan dan Perlis.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Individu tidak divaksin berisiko dapat Covid-19 tahap serius, kematian

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Kumpulan individu yang tidak divaksin tanpa mengira usia merupakan golongan yang paling berisiko dijangkiti Covid-19 kategori empat dan lima serta berdepan dengan kematian akibat jangkitan virus berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata keadaan itu dapat dilihat menerusi data Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai kes Covid-19 kategori empat dan lima serta data kematian akibat pandemik itu bagi setiap 100,000 populasi dalam tempoh 26 Jan hingga 22 Feb.

“Ini dapat dilihat pada carta KKM dan hampir semua kumpulan umur,” katanya dalam kenyataan yang turut memuatkan carta yang menunjukkan kes Covid-19 kategori empat dan lima serta kematian bagi setiap 100,000 penduduk adalah lebih tinggi dalam kalangan individu yang tidak divaksin sepanjang tempoh berkenaan.

Menurut Dr Noor Hisham kumpulan individu yang telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19 adalah yang paling terlindung daripada pandemik tersebut.

“Dapat dilihat jumlah kes yang lebih rendah dijangkiti Covid-19 yang serius (kategori tiga, empat dan lima) dan juga kematian dalam kalangan penerima dos penggalak berbanding kumpulan yang tidak divaksinasi dan kumpulan yang lengkap divaksinasi tetapi belum menerima dos penggalak,” katanya,

Beliau berkata vaksin dos penggalak dapat memberi perlindungan yang terbaik daripada kematian dan gejala serius Covid-19.

Mengenai peratus penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 di hospital Dr Noor Hisham berkata empat negeri menunjukkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus iaitu Kelantan dengan 78 peratus, diikuti Johor (69 peratus), Kuala Lumpur (62 peratus) dan Melaka (54 peratus).

Merujuk kes positif Covid-19 yang dicatatkan semalam, beliau berkata 27,179 kes direkodkan dengan 99.37 peratus atau 27,007 kes merupakan kes kategori satu dan dua manakala hanya 172 kes atau 0.63 peratus merupakan kes dalam kategori tiga, empat dan lima.

Sebanyak 19,037 kes sembuh Covid-19 dicatatkan semalam menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini menghampiri tiga juta kes iaitu 2,974,441 kes.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM nafi video tular pelajar sekolah alami reaksi selepas vaksinasi

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan video tular menerusi media sosial yang mendakwa pelajar sekolah mengalami reaksi selepas divaksinasi.

Kementerian itu menerusi kenyataan hari ini memaklumkan video berkenaan adalah video lama berkaitan kejadian keracunan gas di sebuah sekolah di Pasir Gudang, Johor pada 2019.

“Orang ramai disaran agar tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat sebaliknya merujuk media sosial rasmi KKM untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

15.9 peratus populasi kanak-kanak sudah terima vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Sebanyak 564,220 individu atau 15.9 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sejumlah 14,078,456 atau 59.8 peratus populasi dewasa di dalam negara pula telah menerima dos penggalak Covid-19 dan seramai 22,945,040 atau 97.5 peratus lengkap vaksinasi manakala 23,222,810 atau 98.7 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,799,132 individu atau 90 peratus daripada kumpulan itu sudah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,886,655 atau 92.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 137,307 dos suntikan vaksin telah diberikan semalam melibatkan 52,804 suntikan dos pertama, 1,024 suntikan dos lengkap dan 83,479 suntikan dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 66,289,382.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 43 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan Johor dan Selangor masing-masing melaporkan 10 kes, diikuti Kedah tujuh kes, Sabah (lima), masing-masing dua kes di Kelantan, Pahang dan Pulau Pinang manakala satu kes masing-masing di Melaka, Negeri Sembilan, Sarawak, Terengganu dan Kuala Lumpur.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dakwaan remaja mati 18 hari selepas divaksin, KKM tunggu laporan penuh

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) masih belum menerima laporan penuh forensik dan patologi berhubung kematian remaja berumur 13 tahun yang didakwa meninggal dunia selepas 18 hari menerima vaksinasi COVID-19.

Ketua Pengarah KKM Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan di akaun Twitter berkata ketika ini Jabatan Kesihatan Negeri Selangor sedang bekerjasama rapat dengan pasukan klinisian dan forensik dalam siasatan itu.

“Saya masih belum menerima laporan penuh forensik dan patologi,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata KKM merakamkan ucapan takziah kepada ibu bapa serta anggota keluarga remaja itu.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi akaun Twitternya turut menyampaikan ucapan takziah kepada ibu bapa remaja itu dan meminta Dr Noor Hisham mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu secepat mungkin.

Sebelum ini media melaporkan bahawa ibu bapa remaja itu telah meminta supaya satu siasatan dijalankan bagi mencari punca kematian remaja berkenaan.

— BERNAMA