Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Tindakan pantas atasi pencemaran berjaya elak gangguan bekalan air

SHAH ALAM, 14 FEB: Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan pencemaran di Jalan Sungai Lalang, Semenyih berjaya mengelak gangguan bekalan air.

Dato’ Menteri Besar berkata insiden itu dikesan pada 11 Februari lalu membabitkan sebuah kilang memproses sisa besi secara haram untuk dijadikan logam.

“Tindakan pantas dan penyelesaian segera berjaya mengelakkan henti tugas loji rawatan air (LRA) yang mampu menyebabkan gangguan bekalan air,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Semalam, media melaporkan ada pihak tidak bertanggungjawab menjadikan kawasan hutan di Jalan Sungai Lalang berhampiran kawasan perundustrian Hi-Tech 6, Semenyih sebagai tapak pemprosesan timah.

Bagaimanapun taktik itu berjaya dikesan selepas Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menemukan pencemaran di longkang berdekatan taman perumahan di situ.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata sembilan insiden pencemaran berjaya ditangani LUAS sejak Januari lalu hingga hari ini.

Kejayaan itu selari dengan pengumuman Amirudin untuk memberi tumpuan mengatasi pencemaran sumber air di negeri ini menerusi Belanjawan Selangor 2021 dengan peruntukan RM200 juta.