Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Program suntikan vaksin Selangor percepat proses tingkat imuniti

SHAH ALAM, 2 FEB: Rancangan pemberian vaksin Selangor membantu kerajaan persekutuan mempercepat proses suntikan untuk meningkatkan imuniti rakyat.

Dato’ Menteri Besar berkata program tersebut turut melibatkan warga asing yang menetap dan bekerja bersama rakyat tempatan sekitar Lembah Klang.

“Keputusan menyuntik pekerja asing bukan bermakna kita mengetepikan rakyat sendiri, apa guna jika warga tempatan kebal dijangkiti tetapi mereka pembawa virus.

“Bagaimanapun, kita mungkin kenakan sedikit caj kepada pekerja asing berbanding penduduk tempatan yang diberi secara percuma,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Program Agenda Awani bertajuk Strategi Selangor Perangi Lonjakan Kes Covid-19 malam tadi.

Pada 11 Januari, Amirudin memaklumkan Selangor bercadang membeli antara tiga hingga lima juta dos vaksin bagi membendung penularan Covid-19 dalam kalangan penduduk tempatan dan asing.

Langkah tersebut disambut baik Kementerian Kesihatan Malaysia yang dilihat mampu mengurangkan beban kerajaan untuk membekalkan vaksin.