Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan Komuniti fokus kawasan panas, rumah jagaan warga emas

SHAH ALAM, 21 FEB: Program Ujian Saringan Bersasar Komuniti diteruskan terutama di kawasan berisiko mempunyai jumlah kes positif berpotensi untuk melonjak serta kawasan seperti rumah penjagaan orang tua.

Dato’ Menteri Besar berkata lokasi saringan ditentukan berdasarkan data dan perbincangan antara Kerajaan Negeri dan Pusat Kesihatan Daerah.

“Di Seksyen 19 Shah Alam baru-baru ini, 729 individu telah disaring. Semalam di Klang, hampir 400 individu telah disaring. Hari ini di Seksyen 7 hampir 600 individu telah disaring.

“Program saringan diteruskan esok (21 Februari) di PJS. Ujian saringan percuma ini adalah usaha menangani Covid-19,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter malam tadi.

Hari ini, Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma diteruskan di Dewan (MBPJ) Kampung Lindungan PJS 6, Petaling Jaya.

Ujian bersasar anjuran Kerajaan Negeri mulai jam 9 hingga 4 petang menyasarkan penduduk sekitar PJS 5 hingga 10.

Grafik Twitter Amirudin Shari

Sebelum ini, program berkenaan turut dilaksanakan di Seksyen 25, Shah Alam dengan hampir 2,000 individu disaring pada 7 dan 8 Januari.

Kerajaan Selangor melaksanakan saringan Covid-19 berskala besar di beberapa kawasan panas mulai 11 April 2020 bagi membendung penularan wabak. Turut dilaksana saringan secara pandu lalu.

Kaedah tersebut yang pertama di negara ini sebahagian usaha melandaikan keluk wabak dan mengesan lebih banyak kes terutama golongan berisiko tinggi.