Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sasar 25,000 peniaga beralih ke digital dalam norma baharu

PETALING JAYA, 4 FEB: Kerajaan Selangor menyasar untuk membantu 25,000 usahawan beralih ke arah digital menjelang akhir tahun ini.

EXCO pembangunan usahawan berkata sasaran meliputi usahawan mikro, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), peniaga baharu dan penjaja.

Rodziah Ismail menjelaskan pelbagai program latihan akan dilaksana secara maya, sesuai dengan norma baharu bagi mencapai hasrat tersebut.

“Usaha ini mungkin memerlukan kerja keras memandangkan ada yang tidak faham konsep dalam talian apatah lagi berniaga melalui kaedah tersebut,” katanya selepas meninjau masalah penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 di sini semalam.

Sementara itu, beliau menjangka seramai 1,200 usahawan menyertai kelas e-dagang anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) tahun ini.

Menurut Rodziah, platform yang menyasar 10,000 peniaga berjaya merekodkan 8,800 penyertaan sejak ditubuhkan pada 2016.