Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor mahu pastikan matlamat penubuhan koperasi tercapai

SUBANG JAYA, 19 APRIL: Tadbir urus koperasi yang ada di negeri ini akan diteliti bagi memastikan matlamat penubuhannya tercapai.

EXCO pembangunan usahawan berkata banyak koperasi memiliki potensi besar serta mencatat kecemerlangan malah ada yang mendapat pengiktirafan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

“Baru-baru ini SKM umum beberapa koperasi negeri Selangor antara yang teratas (cemerlang). Rugi sekiranya kita tidak manfaatkan.

“Kita pernah rancang untuk bagi suntikan dari aspek memperbetulkan semula organisasi jawatankuasa atau model perniagaan mereka. Ini untuk pastikan mereka berjaya,” kata Rodziah Ismail ketika ditemui majlis perasmian gerai jualan Koperasi Usahawan Groom Big Selangor Berhad i Subang Parade semalam.

Pengerusi Koperasi Selangor itu berkata koperasi yang cemerlang mampu melaksanakan program sendiri namun perlu mendapat tunjuk ajar.

“Koperasi ini penting kerana kita dapat ubah penduduk selain jadikan ia sebagai ruang atau platform untuk berjaya.

“Sekiranya takut bergerak sendiri, koperasi ini akan memberi kekuatan serta sokongan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sasar 25,000 peniaga beralih ke digital dalam norma baharu

PETALING JAYA, 4 FEB: Kerajaan Selangor menyasar untuk membantu 25,000 usahawan beralih ke arah digital menjelang akhir tahun ini.

EXCO pembangunan usahawan berkata sasaran meliputi usahawan mikro, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), peniaga baharu dan penjaja.

Rodziah Ismail menjelaskan pelbagai program latihan akan dilaksana secara maya, sesuai dengan norma baharu bagi mencapai hasrat tersebut.

“Usaha ini mungkin memerlukan kerja keras memandangkan ada yang tidak faham konsep dalam talian apatah lagi berniaga melalui kaedah tersebut,” katanya selepas meninjau masalah penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 di sini semalam.

Sementara itu, beliau menjangka seramai 1,200 usahawan menyertai kelas e-dagang anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) tahun ini.

Menurut Rodziah, platform yang menyasar 10,000 peniaga berjaya merekodkan 8,800 penyertaan sejak ditubuhkan pada 2016.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Platform SME didik usahawan ilmu digital, luas perniagaan

SHAH ALAM, 4 NOV: Selangor membangunkan pangkalan data berpusat bagi melatih 200,000 pengusaha kecil dan sederhana (PKS) berhubung pendigitalan.

EXCO pembangunan usahawan berkata platform SME kendalian Smart Selangor Delivery Unit membantu usahawan meluaskan pemasaran produk melalui media sosial.

Rodziah Ismail berkata seramai 1,000 peniaga berjaya didaftarkan dalam tempoh dua bulan pertama selepas ia diperkenal pada Julai lalu.

“Usaha ini akan diteruskan sehingga 2025 supaya sasaran Selangor untuk menyumbang nilai ekonomi lebih besar kepada negara akan tercapai,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menggalakkan PKS yang berdaftar dan beroperasi di negeri ini untuk menyertai platform tersebut melalui portal www.smartselangor.com.my/smartsme.

Rodziah menjelaskan maklumat perniagaan akan dikumpul bagi mengenal pasti kekuatan dan kekangan peniaga supaya proses pemasaran produk serta bantuan disalur dengan lebih berkesan.

“Direktori digital PKS Selangor juga akan diwujudkan bagi memusatkan peniaga yang akan mendedahkan mereka kepada pasaran meluas dalam dan luar negara,” kata beliau lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Banyakkan kerjasama pintar laksana program bantu rakyat

SHAH ALAM, 8 SEPT: Kerajaan Negeri perlu menyertai lebih banyak kerjasama pintar dengan syarikat terkenal bagi membolehkan pelaksanaan program lebih berkesan kepada rakyat

EXCO pembangunan usahawan berkata antara kerjasama pintar paling berjaya adalah menerusi Selangor e-Bazar Raya bersama Shopee yang mencecah hasil jutaan ringgit.

“Modal disuntik Kerajaan Negeri bagi program berkenaan adalah RM1 juta tetapi kemudiannya dapat menjana pendapatan lebih dari RM300 juta, jadi perkongsian pintar sebegitu bukan saja berkesan kepada rakyat tetapi menjadikan ia lebih bermanfaat.

EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail membentangkan rumusan ketika sesi Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia Alam, Shah Alam pada 7 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sekiranya tiada perkongsian pintar sebegini, tidak mungkin kita mampu pergi lebih jauh,” kata Rodziah Ismail ketika sesi rumusan Dialog Belanjawan Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City, di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut, Rodziah yang juga EXCO Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi berkata pihaknya turut menjalankan kerjasama pintar bersama perbankan bagi membangunkan program fertigasi penanaman lada.

“Bagi program berkenaan, Agro Bank tawarkan perkhidmatan pinjaman kepada mereka yang berminat untuk menyertai program berkenaan, jadi ia salah satu contoh kerjasama pintar yang baik,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Usahawan digalak sertai Seldec, tingkat upaya pasaran dalam talian

PETALING JAYA, 3 JULAI: Usahawan digalakkan menyertai program Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec) bagi meningkatkan keupayaan sistem perniagaan dalam talian.

EXCO Usahawan berkata peniaga tidak boleh bergantung penjualan gerai secara fizikal semata-mata sebaliknya perlu meneroka peluang perniagaan melalui medium itu.

“Mereka (usahawan) boleh mendaftarkan diri lebih-lebih lagi kita sudah memiliki platform tersendiri yang membantu memperluaskan rangkaian perniagaan.

“Kita mahu wujudkan lebih banyak pusat pengumpulan (barangan) misalnya di Petaling Jaya terdapat banyak hasil daripada biokompos dan mungkin akan dipasarkan ke tempat lain, jadi kena ada penghantar serta tempat pengumpulan yang sudah dibincangkan bersama Seldec,” kata Rodziah Ismail.

Bercakap pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pasar Pagi SS2 MBPJ hari ini, Rodziah turut menjangkakan seramai 7,800 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi rangkaian Seldec Rider.

“Justeru, Seldec akan memastikan rangkaian lebih besar di seluruh Selangor dapat diwujudkan dan paling penting sistem ini boleh menampung barangan agak sensitif seperti pemprosesan antaranya aiskrim dan kek,” katanya.

Seldec diterajui Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd (SIC) dilancarkan pada 3 Oktober tahun lalu bagi menghubungkan pembeli dan penjual secara langsung melalui pautan https://www.seldec.com.my/en

Manakala Seldec Rider dilancarkan pada 20 Jun lalu yang mempelawa belia berusia 21 tahun ke atas menyertainya bagi menambah pendapatan.

Categories
EXCO SELANGOR

PKP: Elak jadi mangsa jenayah, guna transaksi tanpa tunai

SHAH ALAM, 2 APRIL: Orang ramai diingatkan menggunakan transaksi tanpa tunai semasa berbelanja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata memasuki fasa kedua PKP, keadaan dilihat semakin mendesak serta mungkin berlakunya kejadian jenayah seperti rompak dan samun tanpa mengira waktu.

“Sekiranya terpaksa keluar berbelanja, pastikan tidak membawa wang banyak.

“Memandangkan premis di Selangor sudah banyak menggunakan aplikasi tanpa tunai, seeloknya gunakan kaedah bayaran tanpa tunai bagi mengurangkan risiko keselamatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rodziah berkata ciri-ciri keselamatan lain perlu dititikberatkan adalah memastikan pintu pagar dan pintu laluan keluar masuk di rumah sentiasa berkunci.

“Pastikan kenderaan diletakkan di luar rumah dikunci dan jangan sesekali meninggalkan barang berharga dalam kereta.

“Segala langkah keselamatan perlu dipertingkatkan bagi memastikan terhindar dari menjadi mangsa jenayah,” katanya.