Categories
EXCO SELANGOR

50 Ketua Komuniti India disaran galas tugas selesai isu masyarakat

SHAH ALAM, 9 MAC: Seramai 50 Ketua Komuniti India (KKI) digesa menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab demi pembangunan masyarakat berkenaan di negeri ini.

EXCO kerajaan prihatin berkata sehubungan itu mereka diharap dapat menjalin kerjasama erat dengan pihak berkaitan termasuk penghulu bagi menyelesaikan pelbagai isu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

“Saya memohon mereka berkhidmat dengan rasa tanggungjawab seterusnya membantu mengurangkan masalah keciciran dalam kalangan komuniti India,” kata V Ganabatirau selepas menyerahkan watikah pelantikan KKI di Dewan Jubli Perak, SUK di sini hari ini.

Kerajaan Negeri meluluskan pelantikan 50 KKI baharu yang ditempatkan di 56 DUN untuk tenpoh dua tahun berkuat kuasa 1 Januari lalu sehingga 31 Disember tahun hadapan.

Beliau berkata pihaknya menghargai komitmen ditunjukkan ketua komuniti dilantik sebelum ini khususnya dalam menjayakan setiap program Kerajaan Negeri.

“Mereka bertindak sebagai perantara untuk negeri dan rakyat dengan membantu menyalurkan segala bantuan kepada komuniti berkenaan,” katanya.

Awal Januari lalu, sesi suai kenal KKI baharu diadakan secaya maya bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang tidak membenarkan acara bersemuka.

Sesi tersebut merangkumi penerangan pengurusan kewangan, skop tugas dan penganjuran program di kawasan masing-masing.