Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ambil & Bayar tawar bekalan makanan segar penduduk sekitar pangsapuri

KLANG, 27 MAC: Program Ambil & Bayar (Pick & Pay) menawarkan bekalan makanan segar seperti sayur dan buah-buahan kepada penduduk sekitar pangsapuri terpilih tanpa perlu bersesak ke pasar.

EXCO perumahan, kesejahteraan dan hartanah berkata menerusi program itu ia menjadi pemangkin kepada peningkatan ekonomi penduduk pangsapuri khususnya golongan berpendapatan rendah (B40).

Rodziah Ismail melawat laman hijau strata selepas majlis pelancaran Program Ambil & Bayar Laman Hijau Strata Selangor di Pangsapuri Sri Ayu Bandar Putera, Klang pada 27 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kerajaan Negeri di bawah program kesejahteraan bandar terus memberi sokongan kepada kebun-kebun Laman Hijau dalam usaha mengawal peningkatan kadar kemiskinan terutama penduduk kediaman strata bagi mengurangkan kos perbelanjaan isi rumah,” katanya, hari ini.

Rodziah Ismail berkata demikian ketika merasmikan program berkenaan di Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Putera di sini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Unit Pengurusan Bangunan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor berkata sebanyak 12 pangsapuri di negeri ini sudah menjalankan program berkenaan.

“Pada tahun ini kita akan tambah lagi 10 pangsapuri sebagai langkah membuka peluang kepada mereka yang berminat mengusahakan Laman Hijau,” kata Hanizan Sahib ketika ditemui.

Pada 29 Disember lalu sejumlah RM120,000 diperuntuk Kerajaan Negeri bagi menjayakan Program Laman Hijau Strata.

Rodziah Ismail bagaimanapun berkata peruntukan berkenaan akan ditambah sekiranya mendapat penyertaan menggalakkan daripada kalangan komuniti.