Categories
AGENDA SUKANKINI

Atlet Sukma Selangor mula latihan penuh

SHAH ALAM, 19 MAC: Atlet Sukan Malaysia (SUKMA) di negeri ini memulakan latihan penuh tetapi tertakluk tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Pengarah eksekutif Majlis Sukan Negara (MSN) Selangor berkata atlet perlu bersedia melakukan sedikit perubahan dalam rutin latihan bagi mencegah perebakan Covid-19 di pusat latihan.

“Atlet mungkin sedikit kekok menjalani latihan namun ia demi kebaikan semua pihak, namun saya dimaklumkan atlet tetap bersemangat serta teruja menjalani latihan.

“Cuma semua pihak perlu mengekalkan disiplin terutama memastikan kebersihan di pusat latihan sepanjang masa,” kata Mohamad Nizam Marjugi kepada SelangorKini, semalam.

Beliau berkata terdapat pihak mencadangkan MSN Selangor menganjurkan pertandingan tertutup sesama atlet negeri ini namun masih dalam pertimbangkan.

Pada 9 Februari Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan pasukan Liga Malaysia (Liga-M), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) memulakan latihan namun pemain perlu mematuhi kuarantin di kem atau kediaman ditetapkan pasukan.

Dua hari kemudian MKN membenarkan sukan seperti tenis, badminton dan ping pong melibatkan acara perseorangan manakala latihan kemahiran atlet bola sepak, bola keranjang, hoki dan sepak takraw dibenar tanpa melibatkan sentuhan fizikal.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata hampir 600 atlet negara merangkumi 28 jenis sukan yang menjalani latihan secara kuarantin berikutan peningkatan kes Covid-19 pada hujung tahun lepas, kini diberi kebenaran untuk menjalani latihan pusat secara terkawal.