Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Caj murah, pemandu yakin warga asing tetap pilih Bas Smart Selangor

SHAH ALAM, 5 MAC: Perkhidmatan berkualiti Bas Smart Selangor menjadi pilihan ramai termasuk pelajar dan warga asing sejak dilancarkan beberapa tahun lalu.

Meskipun bukan warganegara bakal dicaj 90 sen mulai 15 Mac, namun rangkaian perjalanan meluas dan tempoh menunggu yang singkat diyakini tidak menjejaskan jumlah penumpang.

Haris Ahmad

Perkara tersebut diakui pemandu bas Haris Ahmad, 46, yang menyifatkan kadar tersebut jauh lebih rendah berbanding pengangkutan awam lain.

“Selama lebih empat tahun bekerja, saya lihat warga asing selesa dengan perkhidmatan kami yang banyak memudahkan pergerakan mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Seorang lagi pemandu bas Zulhelmi Aspungi, 46, berkata caj itu membolehkan Kerajaan Selangor menaik taraf kemudahan sedia ada bagi memberi keselesaan maksium kepada penumpang.

“Walaupun nilai 90 sen dilihat kecil namun ia mampu membantu Kerajaan Negeri menjana pendapatan seterusnya memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” katanya.

Mohd Alif Mohd Azhari

Sementara itu, Mohd Alif Mohd Azhari, 26, berpendapat tambang perlu dikenakan lebih awal berikutan sebilangan besar penumpang Bas Smart Selangor dalam kalangan warga asing.

Bermula 15 Mac, penumpang bukan warganegara dalam lingkungan 18 hingga 59 tahun perlu membayar perkhidmatan tersebut manakala rakyat tempatan kekal percuma.

Pengguna juga wajib menggunakan fungsi ‘Scan To Ride’ menerusi aplikasi Citizen E-Payment (CEPat) dengan mengimbas kod QR di pintu masuk dan keluar bas.