Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Semua daerah di Selangor catat kes bawah 100

SHAH ALAM, 21 MAC: Selangor mencatatkan 356 kes baharu Covid-19 hari ini dengan semua daerah merekodkan kes kurang 100.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Klang melaporkan jangkitan tertinggi iaitu 93 kes, majoriti hasil saringan pekerja.

Agensi itu berkata sebanyak 77 kes dikesan di Kapar manakala baki di mukim Klang.

“Petaling pula mencatatkan 90 kes, Sepang (83), Gombak (48), Kuala Langat (22), Hulu Langat (11) dan Kuala Selangor (lima).

“Sementara Hulu Selangor dan Sabak Bernam masing-masing dua kes,” tulis JKNS di Facebook.

Keseluruhannya negeri itu mencatatkan 111,906 kes sejak pandemik menular. Daripada jumlah itu, seramai 109,555 pesakit berjaya pulih.