Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kutipan lebih RM6 juta caj beg plastik disalur program tingkat kesedaran

SHAH ALAM, 18 MAC: Kutipan sebanyak RM6.4 juta menerusi caj 20 sen yang dikenakan terhadap pengguna bagi setiap beg plastik disalurkan bantu menjayakan program kesedaran.

EXCO alam sekitar berkata hasil kutipan itu turut digunakan untuk memberi lebih banyak ganjaran kepada pihak yang membantu menjayakan kempen berkenaan.

Katanya jumlah itu adalah hasil kutipan dalam tempoh setahun selepas Kerajaan Negeri melaksanakannya sejak setahun lalu.

Jelasnya, angka itu mengejutkan kerana dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai yang tidak keluar membeli-belah tetapi penggunaan beg plastik banyak direkodkan.

“Ia adalah fenomena kurang baik dan penuh cabaran kepada kita dalam menangani isu penggunaan plastik yang tidak terkawal,” kata Hee Loy Sian ketika dihubungi SelangorKini.

Sementara itu, Loy Sian berkata kajian Merdeka Center di Selangor mendapati kesedaran umum rakyat terhadap kempen bebas plastik adalah tinggi.

Katanya, tahap kesedaran sehingga 88 peratus itu menunjukkan kempen berkenaan sudah menjadi budaya dalam kalangan masyarakat.

“Daripada kajian ini juga, 85 peratus pengguna memberitahu bahawa mereka mengurangkan penggunaan beg plastik dalam kehidupan seharian,” katanya.