Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS terima 200 selimut kalis api untuk pelajar asnaf

SHAH ALAM, 24 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima sumbangan 200 selimut kalis api untuk diagihkan kepada pelajar asnaf di Kompleks Bait Al-Hasanah.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata bantuan bernilai RM37,980 oleh Syarikat Satin Alpha Oilfield Sdn Bhd memberi nilai tambah terhadap keselamatan penghuni asrama terbabit.

“Sumbangan ini amat bermakna dan melindungi pelajar dari perkara tidak diingini, justeru LZS berharap syarikat swasta lain mengambil inisiatif sama.

“Bantuan tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit tetapi barang keperluan juga amat digalakkan,” kata Saipolyazan Md Yusop selepas menerima sumbangan terbabit di ibu pejabat LZS di sini semalam.

Sementara itu Pengurus Produk Satin Alpha Oilfield Sdn Bhd Yuda Ibrahim Abdul Manas berkata selimut kalis api boleh memberi perlindungan sementara jika berlaku kebakaran.

Jelasnya, penggunaan fabrik itu bukan perkara baharu sebaliknya dipelopori industri penerbangan untuk kegunaan penumpang malah digunakan meluas di hospital.

“Idea menjadikan selimut Sleep Mood by Satin ini kegunaan di rumah kerana banyak kebakaran membabitkan kanak-kanak, sekurang-kurangnya ia melindungi mangsa sebelum bantuan tiba,” katanya.