Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Orang ramai digesa jalani saringan Covid-19 sebelum terima vaksin

SHAH ALAM, 7 MAC: Orang awam digalak menyertai Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri sementara masih belum divaksin.

Pengurus Klinik Selcare berkata ia berikutan penduduk perlu terus menjalani ujian sekiranya bergejala dan tinggal di lokasi jangkitan yang tinggi.

Pengurus Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir bercakap kepada media ketika program Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Resak MBSA, Subang Perdana, Shah Alam pada 6 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Bagaimanapun kita bimbang ada yang anggap tidak perlu disaring kerana vaksin sudah tiba sedangkan program imunisasi itu dilakukan secara berperingkat dan memakan masa.

“Proses saringan ini akan diteruskan sehingga pengambilan vaksin dalam kalangan masyarakat mencapai 80 peratus,” kata Mohd Noor Md Nasir kepada SelangorKini ketika program Saringan Komuniti Bersasar Covid-19 di Dataran Otomobil Seksyen 15 di sini hari ini.

Beliau berkata jumlah kehadiran sekitar 400 orang yang menyertai program di Subang Perdana dan Seri Kembangan semalam seharusnya meningkat lebih tinggi sekiranya orang ramai tidak melepaskan peluang menjalani ujian percuma itu.

“Sasaran awal ialah 2,000 peserta dan kita tidak sepatutnya leka kerana Covid-19 masih berada dalam komuniti. Saringan ini sebagai langkah pencegahan selain terus patuh tatacara operasi piawai,” katanya.