Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Saringan percuma diteruskan, tumpu lokasi jangkitan tinggi

SHAH ALAM, 9 JUN: Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM10.7 juta bagi meneruskan Program Saringan Covid-19 fasa ketiga bertumpu di lokasi jangkitan tinggi termasuk sektor perkilangan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif secara percuma itu menyasarkan 100,000 individu terutama untuk mengesan `pembawa senyap’ wabak dalam komuniti.

“Sejak tahun lepas, Kerajaan Negeri melaksanakan saringan percuma fasa pertama di kawasan tertentu manakala fasa kedua bermula 8 Mei tahun ini sehingga 10 Jun (esok) di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sehingga semalam, seramai 117,314 individu telah menjalani saringan Covid-19 fasa kedua,” katanya ketika mengumumkan Pakej Bantuan Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu rakyat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pelan bertemakan ‘Bersama-sama Menuju Kejayaan’ meliputi tiga strategi dan 25 program memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani serta penggiat pelancongan.

Selangor mula melaksanakan saringan Covid-19 berskala besar di lokasi panas pada11 April tahun lepas selain turut memperkenal saringan pandu lalu.

Sejak 8 Mei tahun ini, Kerajaan Negeri menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN dengan menyasarkan 100,000 penyertaaan.

Semalam Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memuji langkah agresif Kerajaan Negeri melaksana program Saringan Komuniti secara percuma.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Rakyat yakin Saringan Komuniti mampu urus Covid-19

HULU LANGAT, 11 MEI: Pelaksanaan program saringan komuniti menyakinkan rakyat berhubung kemampuan Kerajaan Negeri mengurus peningkatan kes Covid-19.

Nor Hanizah Abd Manaf. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Nor Hanizah Abd Manaf, 44, berkata tindakan proaktif melaksana saringan secara percuma di setiap kawasan memberi kelegaan kepada orang ramai yang bimbang dengan perebakan wabak mutakhir ini.

“Saya hadir bersama rakan sekerja menjalani saringan dan melihat ramai beratur, ini menunjukkan sokongan serta kesedaran masyarakat meningkat,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri program Saringan Komuniti Covid-19 Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua di Dewan Orang Ramai Titiwangsa semalam.

Chan Wai. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bagi Chan Wai, 25, inisiatif saringan percuma perlu diadakan dari semasa ke semasa dan bukan hanya ketika kes positif melonjak.

“Selain itu kekerapan mengadakan saringan di lokasi panas mengurangkan risiko penularan dalam komuniti,” katanya.

Harapan sama dikongsi K Ramesh, 32, supaya saringan percuma diadakan lebih kerap di lokasi zon merah atau di penempatan kepadatan tinggi.

K Ramesh. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, Nordin Busu, 70, mencadangkan Kerajaan Negeri menambah baik program dengan memberi perhatian khusus kepada golongan berisko tinggi seperti warga emas.

Kerajaan Negeri menerusi Pakej Kita Selangor memperuntuk RM6 juta bagi melaksana saringan komuniti percuma yang kini diadakan di seluruh 56 DUN bermula 8 Mei hingga 10 Jun.

Pendaftaran boleh dibuat menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), klik butang sihat dan guna fungsi saringan atau layari http://screening.selangkah.my

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Program saringan komuniti dijangka dilaksana dalam tempoh terdekat

SHAH ALAM, 2 MEI: Program saringan komuniti anjuran Kerajaan Negeri dijangka dilaksana dalam tempoh terdekat susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di Selangor.

Pengurus Klinik Selcare berkata program saringan percuma untuk rakyat itu memang sudah dirancang dan pihaknya hanya menanti ‘lampu hijau’ untuk mengendalikannya.

“Mungkin kita akan mula minggu ini. Ketika ini kita tunggu keputusan dari bilik gerakan dan Pasukan Khas Selangor Covid-19 (STFO) mengenai lokasi mana yang akan dimulakan dulu.

“Kali terakhir kita adakan pada minggu lalu di Bandar Sungai Long Kajang,” kata Mohd Noor Md Nasir ketika dihubungi Selangorkini.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya menjaga tatacara operasi piawai (SOP) dan tidak keluar rumah tanpa tujuan penting bagi mengelak peningkatan kes dalam komuniti.

Semalam, kes Covid-19 di Selangor kembali kepada tiga angka iaitu 759 kes selepas beberapa hari sebelumnya mencatat bilangan melebihi empat angka.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor laksana saringan Covid-19 percuma di 33 lokasi

SHAH ALAM, 13 APRIL: Kerajaan Negeri berjaya melaksanakan saringan Covid-19 secara percuma merangkumi 33 lokasi di enam daerah setakat 11 Mac.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif itu menyasarkan kawasan berisiko tinggi untuk mencetuskan kluster wabak dalam komuniti.

“Ujian saringan komuniti antara usaha Kerajaan Negeri mengekang penularan wabak,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook hari ini.

Pada 4 April, beliau berkata seramai hampir 20,000 rakyat di negeri ini menerima manfaat program saringan percuma bersasar setakat hari tersebut.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 untuk membendung wabak.

Program menyasar penglibatan 50,000 penduduk negeri ini meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.

Pemilihan lokasi program saringan dibuat berdasarkan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengenal pasti serta meramal sebaran wabak.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Buat saringan lepas pulang kenduri, ambil langkah berjaga-jaga

BANGI, 5 APRIL: Pulang dari menghadiri kenduri mendorong seorang lelaki melakukan ujian saringan Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Negeri, semalam.

Zainuddin Tunggal berkata walaupun kenduri diadakan Sabtu lalu mengikut tatacara operasi piawai (SOP), namun langkah berjaga-jaga perlu diambil dengan segera.

Zainuddin Tunggal. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kawasan di sini antara yang mempunyai kes dan kita bukan setiap masa berada di rumah dengan masing-masing perlu keluar bekerja.

“Kita tidak tahu dengan siapa dikelilingi jadi apabila ada program seperti ini kita perlu ambil peluang bagi memastikan diri, ahli keluarga dan masyarakat selamat,” katanya ketika ditemui di lokasi Saringan Komuniti Covid-19 di Sekyen 7 di sini.

Sementara itu, Atikah Ibrahim berkata ini kali kedua beliau melakukan saringan selepas kali pertama sebulan yang lalu.

Atikah Ibrahim. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pekerja kilang berkenaan mengakui terkejut kerana program saringan ini percuma memandangkan sebelum ini beliau memperuntukkan lebih RM200 untuk melakukan ujian di klinik swasta.

“Terima kasih Kerajaan Selangor, jika ada lagi program seperti ini saya akan datang untuk lakukan saringan bagi memastikan diri benar-benar sihat,” kata menambah membuat ujian secara kebetulan selepas melihat kain rentang dipasang di luar dewan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Guru jalani saringan Covid-19 elak ibu tanggung risiko

KUALA SELANGOR, 21 MAC: Seorang guru menyertai program Saringan Komuniti Covid-19 hari ini kerana akan pulang ke kampung bertemu ibunya yang sedang sakit.

Ahmad Roshidi Rukman berkata tindakan itu ekoran tidak mahu merisikokan ibunya yang mengidap angin ahmar dan segera ke lokasi program selepas mengetahui melalui hebahan di media sosial.

Ahmad Roshidi Rukman. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Ini adalah langkah untuk memastikan semua pihak termasuk adik beradik yang tinggal bersama emak di Kelantan selamat,” katanya ketika ditemui di Dewan Bestari Jaya hari ini.

Beliau berkata tugasnya sebagai pendidik yang bertemu ramai pelajar juga menjadi faktor untuknya melakukan ujian itu.

Katanya, orang ramai perlu mengambil peluang menyertai saringan komuniti bersasar oleh Kerajaan Negeri dijalankan secara percuma berbanding di klinik swasta dengan kos lebih tinggi.

Zaki Raof. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, seorang ahli kelab kereta Perodua Bezza warna merah (ReBOC), Zaki Raof bercadang mengajak semua ahli di Selangor melakukan ujian tersebut.

Beliau berkata diharap lebih 400 ahli kelab itu mengambil peluang menyertai program saringan itu.

“Saya akan maklumkan kepada mereka untuk turut serta demi melawan Covid-19,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selcare: Kaedah AI kenal pasti lokasi berisiko Covid-19

KUALA SELANGOR, 21 MAC: Pemilihan lokasi program Saringan Komuniti Covid-19 percuma dibuat berdasarkan kecerdasan buatan (artificial intelligence) atau lebih dikenali sebagai AI.

Pengurus Klinik Selcare memaklumkan kaedah itu digunakan bagi mengenal pasti kawasan berisiko tinggi yang dilaporkan terdapatnya kes Covid-19.

“Berdasarkan AI ini kita menjangkakan kawasan berkenaan akan berlaku peningkatan kes.

“Dari situ kita tentukan lokasi seterusnya,” kata Mohd Noor Md Nasir ketika ditemui di lokasi saringan di Dewan Bestari Jaya hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata program seterusnya pada minggu hadapan adalah di Balakong dan Pandan Indah.

“Melalui maklumat awal ini kita harapkan lebih ramai orang awam akan datang untuk buat saringan,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung wabak.

Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) iaitu membolehkan jangkitan Covid-19 dikesan dalam tempoh kurang 30 minit.

Orang ramai yang ingin menjalani ujian perlu terlebih dahulu mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan kemudiannya membuat pengesahan dengan petugas.

Categories
AGENSI SELANGOR

Sambutan menggalakkan, lebih 6,000 jalani ujian Covid-19

SUBANG JAYA, 13 MAC: Lebih 6,000 individu menyertai Saringan Komuniti Covid-19 diadakan sejak awal Februari hingga minggu lalu.

Pengurus Klinik Selcare berkata jumlah berkenaan termasuk 894 warga emas dari 32 pusat jagaan.

Menurut Mohd Noor Md Nasir, program akan diteruskan lagi minggu hadapan di Telok Panglima Garang, Kuala Langat dan Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Pengurus Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Selain mengutamakan kawasan panas, kita anjurkan juga di luar bandar supaya saringan menyeluruh dapat dibuat,” katanya ketika ditemui di lokasi saringan di Taman Batu Tiga di sini hari ini.

Beliau berkata, program menerusi Pakej Kita Selangor itu melibatkan 60 petugas yang terdiri dari kakitangan Selcare serta sukarelawan bekerja secara penggiliran.

“Ketika ini, perjalanan program mengutamakan golongan warga emas serta komuniti. Mahasiswa dijangka menjadi kelompok terakhir disasarkan.

“Sepanjang Ramadan, kita akan lihat kesesuaian dan keadaan semasa untuk anjurkan. Tahun lalu mufti jelaskan saringan Covid-19 boleh dilakukan ketika puasa,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh Selangor untuk membendung wabak.

Program menyasar penglibatan 50,000 penduduk meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan Komuniti sasar 2,000 penduduk di empat lokasi

SHAH ALAM, 12 MAC: Program Saringan Komuniti Covid-19 pada esok dan Ahad menyasarkan penyertaan 500 individu di setiap empat lokasi.

Pengurus Klinik Selcare berkata ujian bersasar secara percuma bermula 9 pagi hingga 4 petang akan diadakan di Dewan Serbaguna MPSJ, Bandar Bukit Puchong dan Taman Batu Tiga, Subang Jaya.

Katanya, program akan diteruskan pada Ahad di Dewan Seroja MBSA, Seksyen 27 dan Dewan Serbaguna MPSJ, USJ 7.

“Kita harap dapat saring 2,000 individu secara keseluruhan. Penduduk disaran manfaatkan ujian secara percuma selagi belum divaksin,” kata Mohd Noor Md Nasir kepada SelangorKini hari ini.

Program berlangsung di Dewan Serbaguna MPSJ, Bandar Bukit Puchong menumpukan penduduk Taman Mutiara Indah, Taman Saujana Puchong, Bandar Bukit Puchong.

Manakala mereka di Taman Mutiara Subang dan Seksyen 22, Shah Alam boleh membuat ujian di Taman Batu Tiga.

Saringan komuniti di USJ 7 pula menyasar penduduk Subang Perdana Goodyear Court dan kawasan berhampiran manakala penduduk Seksyen 27 di Dewan Seroja MBSA.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung wabak.

Program menyasar penglibatan 50,000 penduduk negeri ini meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.

Categories
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Saringan Komuniti bersasar berjaya kesan 20 lagi kes Covid-19 

SHAH ALAM, 12 MAC: Saringan Komuniti Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Negeri mengesan 20 kes positif pada Sabtu dan Ahad lepas, kata pengurus klinik Selcare.

Mohd Noor Md Nasir berkata pengesanan itu hasil saringan seramai 884 individu dijalankan di empat lokasi berisiko serta kepadatan tinggi.

“Saringan pada 6 Mac di Dewan Resak MBSA dan Dewan Serbaguna MPSJ, Seri Kembangan manakala Dataran Otomobil, Seksyen 15 Shah Alam dan Dewan Serbanguna Seksyen 2, Kota Damansara pada 7 Mac.

“Ujian bersasar berjaya mengesan kes positif dalam kalangan komuniti sekali gus mengekang risiko penularan wabak,” katanya kepada SelangorKini semalam.

Program saringan bersasar itu akan diteruskan di empat lokasi lagi pada hujung minggu ini iaitu esok di Dewan Serbaguna MPSJ Bandar Bukit Puchong dan Taman Batu Tiga Subang Jaya diikuti Dewan Seroja MBSA Seksyen 27 dan Dewan Serbaguna MPSJ USJ 7 pada Ahad.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung wabak.

Program menyasar penglibatan 50,000 penduduk meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Orang ramai digesa jalani saringan Covid-19 sebelum terima vaksin

SHAH ALAM, 7 MAC: Orang awam digalak menyertai Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri sementara masih belum divaksin.

Pengurus Klinik Selcare berkata ia berikutan penduduk perlu terus menjalani ujian sekiranya bergejala dan tinggal di lokasi jangkitan yang tinggi.

Pengurus Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir bercakap kepada media ketika program Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Resak MBSA, Subang Perdana, Shah Alam pada 6 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Bagaimanapun kita bimbang ada yang anggap tidak perlu disaring kerana vaksin sudah tiba sedangkan program imunisasi itu dilakukan secara berperingkat dan memakan masa.

“Proses saringan ini akan diteruskan sehingga pengambilan vaksin dalam kalangan masyarakat mencapai 80 peratus,” kata Mohd Noor Md Nasir kepada SelangorKini ketika program Saringan Komuniti Bersasar Covid-19 di Dataran Otomobil Seksyen 15 di sini hari ini.

Beliau berkata jumlah kehadiran sekitar 400 orang yang menyertai program di Subang Perdana dan Seri Kembangan semalam seharusnya meningkat lebih tinggi sekiranya orang ramai tidak melepaskan peluang menjalani ujian percuma itu.

“Sasaran awal ialah 2,000 peserta dan kita tidak sepatutnya leka kerana Covid-19 masih berada dalam komuniti. Saringan ini sebagai langkah pencegahan selain terus patuh tatacara operasi piawai,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Orang ramai digalak jalani saringan Covid-19 di Kota Damansara esok

SHAH ALAM, 6 MAC: Orang awam diseru hadir menyertai program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Serbaguna Seksyen 2 Kota Damansara esok.

Ahli Dewan Negeri Kota Damansara berkata saringan secara percuma itu diutamakan kepada penduduk sekitar Taman Sains Selangor serta Kota Damansara di Seksyen 6, 7 dan 8.

“Bagaimanapun, program ini terbuka kepada semua tanpa mengira bangsa. Manfaatkan peluang disedia Kerajaan Selangor ini,” kata Shatiri Mansor ketika ditemui Media Selangor hari ini.

Untuk mendaftar, orang ramai boleh memuat turun aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan menggunakan fungsi saringan atau layari screening.selangkah.my .

Seramai 4,352 individu terlibat dalam program Saringan Komuniti setakat Februari yang turut membabitkan 894 warga emas dari 32 pusat jagaan.