Categories
AGENSI SELANGOR

Penterjemah bantu selesai masalah komunikasi warga asing

SHAH ALAM, 14 MAC: Petugas Selcare menggunakan penterjemah bagi menyelesaikan masalah komunikasi membabitkan warga asing pada program saringan percuma Covid-19.

Ini kerana, Koordinator Saringan Komuniti berkata sebahagian besar golongan itu bukan sahaja tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu malah juga dalam bahasa Inggeris.

“Kaedah yang kita lakukan ialah mencari seorang dalam kalangan mereka yang boleh bertutur sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.

“Apabila dapat seorang akan lebih mudah untuk kita memberi penerangan supaya dia memaklumkan kepada rakan senegaranya yang lain,” kata Abdul Hadri Hakimi Abdul Rahman ketika ditemui di lokasi saringan dekat Dewan Seroja Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 27 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadri Hakimi berkata mereka juga tidak mempunyai telefon pintar dan urusan pendaftaran dilakukan secara manual.

“Jika ada telefon pun kebanyakkan mereka tidak menggunakan telefon pintar. Jadi, kita perlu gunakan kaedah menulis untuk pendaftaran,” katanya menceritakan cabaran mengendali program saringan percuma Covid-19.

Sementara itu,  Abdul Hadri Hakimi  memaklumkan, setakat tengah hari tadi lebih 200 individu sudah menjalani saringan.

Program inisiatif Kerajaan Negeri ini menyasar penglibatan 50,000 penduduk meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.

Hari ini, dua Saringan Komuniti diadakan serentak di Dewan Seroja MBSA, Seksyen 27 dan Dewan Serbaguna MBSJ, USJ 7 jam 9 pagi hingga 4 petang sebagai langkah mengekang penularan Covid-19.