Categories
AGENSI SELANGOR

Selangor catat 712 kes Covid-19, satu kluster tempat kerja

SHAH ALAM, 11 MAC: Selangor mencatatkan kes Covid-19 harian tertinggi negara dengan 712 kes termasuk satu jangkitan import, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu merangkumi 43.23 peratus daripada keseluruhan 1,647 kes dilaporkan dalam negara.

“Sebanyak 141 kes dikesan dari kluster sedia ada termasuk 31 dari kluster baharu Kluster Tapak Bina Jalan Kenangan.

“478 kes direkodkan daripada saringan kontak rapat manakala 92 dari lain-lain saringan. Pertambahan ini menjadikan keseluruhan sebanyak 107,117 kes,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya tiga kematian membabitkan lelaki tempatan berusia 71 hingga 78 tahun turut dilaporkan di negeri ini.

Sementara Dr Noor Hisham memaklumkan satu lagi kluster tempat kerja dikenal pasti di Klang melibatkan 31 kes positif.

“Kluster Tapak Bina Jalan Kenangan membabitkan pekerja tapak di Meru. Kes dikesan hari ini hasil saringan bersasar terhadap 121 pekerja,” katanya.