Categories
AGENDA NASIONAL

Selcare: Kaedah AI kenal pasti lokasi berisiko Covid-19

KUALA SELANGOR, 21 MAC: Pemilihan lokasi program Saringan Komuniti Covid-19 percuma dibuat berdasarkan kecerdasan buatan (artificial intelligence) atau lebih dikenali sebagai AI.

Pengurus Klinik Selcare memaklumkan kaedah itu digunakan bagi mengenal pasti kawasan berisiko tinggi yang dilaporkan terdapatnya kes Covid-19.

“Berdasarkan AI ini kita menjangkakan kawasan berkenaan akan berlaku peningkatan kes.

“Dari situ kita tentukan lokasi seterusnya,” kata Mohd Noor Md Nasir ketika ditemui di lokasi saringan di Dewan Bestari Jaya hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata program seterusnya pada minggu hadapan adalah di Balakong dan Pandan Indah.

“Melalui maklumat awal ini kita harapkan lebih ramai orang awam akan datang untuk buat saringan,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung wabak.

Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) iaitu membolehkan jangkitan Covid-19 dikesan dalam tempoh kurang 30 minit.

Orang ramai yang ingin menjalani ujian perlu terlebih dahulu mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan kemudiannya membuat pengesahan dengan petugas.