Categories
AGENDA NASIONAL

Tak wajar nafi hak pengundi 18 tahun – ADN Tanjung Sepat

HULU LANGAT, 29 MAC: Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat menyifatkan penangguhan kelayakan pengundi berusia 18 tahun (Undi 18) tidak wajar.

Kata Borhan Aman Shah, hak pengundi golongan itu tidak boleh dinafikan kerana mereka sudah matang dan meningkat dewasa.

“Alasan bahawa kita tidak boleh buat pendaftaran secara dalam talian, perlukan kajian tidak seharusnya berlaku.

“Kita sudah didedahkan dengan teknologi baru dan bukan manual. Tak perlu untuk tangguh lagi,” katanya mengulas tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan Undi 18 baru-baru ini.

Sebelum ini, SPR mengumumkan Undi 18 yang sepatutnya bermula Julai ini ditunda kepada 1 September tahun depan.

Pada 16 Julai 2019 Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had usia mengundi, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan usia calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Ia kemudian disusuli kelulusan di Dewan Negara pada 25 Julai 2019, dengan majoriti dua pertiga, 10 hari selepas diluluskan di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Borhan menyampaikan manfaat bantuan khairat kematian kepada waris ketua kampung di Kampung Sesapan Minangkabau di Beranang di sini.