Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Asnaf fakir, miskin terkesan wabak dapat bantuan makanan

SHAH ALAM, 26 APRIL: Dapur Ramadan Asnaf Selangor 2021 dilancarkan bagi membantu golongan memerlukan sepanjang tempoh perintah kawalan.

Inisiatif Lembaga Zakat Selangor (LZS) mulai 13 April menyasar keluarga asnaf fakir dan miskin yang terkesan rentetan penularan wabak Covid-19.

“Ini merupakan program tahunan kedua dilakukan selepas 2020 melibatkan asnaf fakir miskin yang bukan penerima makanan bulanan.

“Bekalan yang diagihkan adalah berbentuk makanan asasi,” kata agensi itu dalam kenyataan.

LZS turut berterima kasih kepada pembayar zakat yang menunaikan tanggungjawab bagi membolehkan agihan dibuat kepada golongan terkesan.

Sementara itu, keratan paparan video di Facebook LZS menunjukkan sumbangan meliputi beras, bihun, minyak masak, tepung gandum, gula, teh uncang, kicap dan minuman kordial.

Bayaran zakat boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan https://fpx.zakatselangor.com.my atau mana-mana saluran yang disediakan.

Pada 12 April, LZS mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM28 juta kepada 61,315 asnaf fakir, miskin dan mualaf seluruh negeri.

Sumbangan itu bagi membantu golongan tersebut membuat persiapan awal menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.