Categories
AGENSI SELANGOR

Bantuan makanan ringan beban, jimat kos belanja dapur

KUALA LANGAT, 8 APRIL: Pemandu teksi dan bas sekolah bersyukur menerima bantuan makanan ketika pendapatan terjejas susulan penularan Covid-19.

Alias Muhammad, 59, berkata sumbangan Kerajaan Negeri itu dapat mengurangkan beban dan menjimatkan kos perbelanjaan barangan dapur.

Pemandu teksi, Alias Muhammad.

“Alhamdulillah terima kasih kerana prihatin dan cakna kepada pemandu seperti kami yang terjejas pendapatan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebagai pemandu teksi ketika ini nak dapat RM100 sehari pun agak sukar jadi apabila terima sumbangan sekurang-kurangnya membantu terutama kepada mereka beragama Islam yang bakal menyambut Ramadan,” katanya.

Pemandu teksi, V Santhiran.

 

Alias adalah antara 80 pemandu teksi dan bas sekolah di Kuala Langat yang menerima bantuan berkaitan disampaikan EXCO Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail di Dewan Seri Jugra di sini hari ini.

Seorang lagi pemandu teksi, V Santhiran, 57, berharap agar bantuan seumpama itu diteruskan pada masa akan datang kerana ia sedikit sebanyak membela nasib golongan itu yang berdepan kesukaran ketika ini.

Pemandu bas sekolah, Ng Sing Leng.

Manakala, Ng Sing Leng, 61, berkata beliau amat gembira dengan bantuan itu kerana sebelumnya tidak pernah mendapat pemberian seperti itu.

“Terima kasih Kerajaan Negeri kerana ia bantuan kali pertama saya terima selepas lebih 10 tahun menjadi pemandu bas sekolah,” jelasnya.