Penggerak Belia Selangor (PeBS) mengagihkan 950 bungkus makanan kepada penduduk Kampung Permata, Kundang dan Kampung Gombak, Kuang yang terkesan dengan banjir pada 9 Mac 2022. Foto Ihsan PeBS
SHAH ALAM, 10 MAC: Penggerak Belia Selangor (PeBS) mengagihkan 950 bungkus makanan kepada penduduk Kampung Permata, Kundang dan Kampung Gombak, Kuang yang terkesan dengan banjir semalam.
Presiden Akmal Halim berkata inisiatif Dapur Selangor Bangkit itu dapat meringankan beban mangsa selepas rumah mereka dinaiki air pada petang Isnin.
“Agihan kepada mangsa yang mendiami pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan JKKK Kampung Permata selain penduduk yang sudah pulang ke rumah.
Penggerak Belia Selangor (PeBS) mengagihkan makanan kepada penduduk Kampung Permata, Kundang dan Kampung Gombak, Kuang yang terkesan dengan banjir semalam. Foto Ihsan PeBS
“Mereka penat selepas bertungkus-lumus membersihkan rumah masing-masing,” katanya kepada SelangorKini hari ini.
Akmal berkata ahli PeBS yang kini hampir mencecah 300 orang juga dalam keadaan bersedia untuk digerakkan sekiranya berlaku bencana banjir selepas ini.
“Semua ahli ada di setiap Dewan Undangan Negeri. Jika berlaku bah lagi kami akan turun membantu kebajikan mangsa termasuk pembersihan rumah,” katanya.
Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor menyampaikan barang keperluan asas kepada komuniti dan anak yatim di Apartment Lestari, Petaling Jaya pada 23 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
PETALING JAYA, 23 JAN: Seramai 70 penduduk Apartment Lestari, Damansara Damai menerima bakul makanan dan tunai sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI hari ini.
Agihan meliputi 40 individu yang aktif membantu komuniti sepanjang penularan Covid-19 dan 30 anak yatim, kata ketua tanggungjawab sosial korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor.
“Ini penghargaan kepada mereka yang sentiasa cakna dan prihatin terhadap penduduk lain. Mereka banyak membantu penduduk sepanjang wabak melanda.
“Bantuan anak yatim pula bagi meringankan beban keluarga selepas kehilangan ibu atau bapa. MBI akan cuba membantu semua pihak terutama yang memerlukan,” katanya selepas menyerahkan sumbangan itu.
Tahun lalu, anak syarikat Kerajaan Negeri itu membelanjakan RM28 juta bagi melaksanakan program kebajikan dan inisiatif memerangi Covid-19.
MBI turut mengagihkan RM2.8 juta bagi membantu mangsa banjir negeri ini melalui program tanggungjawab sosial korporat dan sumbangan kepada Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit.
Sukarelawan 'Misi Meringankan Beban dan Agihan Wang Zakat' ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Meru, Klang dan Padang Jawa, Shah Alam pada 30 Disember 2021. Foto PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC)
SHAH ALAM, 30 DIS: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) mengagihkan bantuan makanan dan zakat kepada lima keluarga terjejas banjir di Meru, Klang dan Padang Jawa, Shah Alam hari ini.
Agensi berkata ‘Misi Meringankan Beban dan Agihan Wang Zakat’ itu dibantu enam artis dari Indigital Music iaitu Syahmi, Aufahanie, Nomad, Killa Driz, Aliff Iskandar dan Syafiq Naser.
“PREC menyumbang barangan asas seperti minyak masak, kopi, susu, teh, tisu tandas selain barangan elektrik dan dapur masak bagi menggantikan barangan mangsa yang rosak akibat banjir.
“Siri pengagihan zakat berjumlah RM40,500 akan dilakukan dari semasa ke semasa kepada 17 rumah terpilih dan dijangka selesai awal Januari 2022,” katanya.
Tambahnya, usaha itu turut mendapat sokongan syarikat berjenama seperti Faiza yang menyumbang beras dan tepung manakala Adabi menyumbang makanan sedia dimakan seperti rendang daging, kari ayam, makanan ringan, selain tepung cucur dan banyak lagi.
Menurut PREC lagi, Bazaarlokal juga menganjurkan jualan amal bertemakan ‘Charity Is Fun’ bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada mangsa banjir.
“Pembelian boleh dibuat di booth Bazaarlokal yang terletak di aras bawah, SACC Mall dengan barangan premium serendah RM50 atau pembelian merchandize Bazaarlokal serendah RM1,” katanya.
Kakitangan Tourism Selangor bersama syarikat Aliments mengagihkan bantuan makanan dan keperluan asas kepada penduduk yang terkesan banjir sekitar Hulu Langat, baru-baru ini. Foto Tourism Selangor
SHAH ALAM, 23 DIS: Tourism Selangor mengagihkan bantuan kewangan, bakul makanan dan barangan asas kepada kakitangannya yang terkesan banjir, baru-baru ini.
Agensi pelancongan itu turut mengagihkan 500 pek makanan kepada mangsa banjir di Hulu Langat iaitu Kampung Bukit Dukung, Kampung Sungai Sekamat, Kampung Sri Jambu dan Kampung Baru Batu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Azrul Shah Mohamad berkata pihaknya prihatin terhadap cabaran dihadapi rakyat susulan bencana itu khususnya di negeri ini.
“Secara tidak langsung bencana ini turut menjejaskan aktiviti pelancongan, namun saya berharap keadaan pulih seperti sedia kala dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengambil minuman dan makanan yang bersih untuk mengelakkan keracunan selain peka terhadap aspek keselamatan.
Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.
Sebahagian kakitangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bergotong royong memasak pada program Dapur Ehsan di Kediaman Rasmi Dato' Menteri Besar di Seksyen 7 Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
SHAH ALAM, 21 DIS: Warga kerja Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bergotong-royong menyediakan 1,500 hingga 2,000 makanan tengah hari untuk diagih kepada mangsa banjir di sekitar bandar raya ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata sebanyak RM3,000 diperuntukkan sehari bagi menjayakan program melalui Dapur Ehsan sehingga situasi banjir pulih sepenuhnya.
Beliau menjelaskan inisiatif tersebut selaras seruan Kerajaan Negeri untuk membantu meringankan beban mangsa terkesan dengan bencana itu sejak Jumaat lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi bercakap kepada media pada program Dapur Ehsan di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di Seksyen 7 Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
“Untuk permulaan, makanan siap dimasak akan diedarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di pusat pemindahan sementara (PPS) dan lokasi banjir.
“Selain itu, kerjasama akan dijalin dengan agensi persekutuan termasuk Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) bagi melancarkan misi bantuan ini,” katanya ditemui di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar di sini hari ini.
Beliau berkata bekalan bahan mentah untuk melaksanakan program terbabit diperoleh dari ladang Selangor Fruit Valley (SFV) selain sumbangan barangan penyewa dan pemborong Pasar Borong Selangor.
“Kos pelaksanaan program tidak terlalu tinggi kerana menggunakan produk keluaran sendiri antaranya ayam, daging dan telur,” katanya.
Seorang penduduk pangsapuri Seksyen 13 Shah Alam menghulurkan bantuan pek makanan dan minuman kepada pemandu yang lalu lalang di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur pada 19 Disember 2021. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
SHAH ALAM, 19 DIS: Persatuan penduduk sebuah pangsapuri di Seksyen 13 di sini hari ini turun padang mengagihkan 400 pek makanan dan minuman kepada pemandu yang terkandas di Lebuhraya Persekutuan menghala Kuala Lumpur.
Wakil penduduk Kamarulzaman Mohd Yusof, 50, berkata beliau dan isteri terfikir untuk menghulurkan sumbangan seawal Subuh tadi selepas melihat daripada tingkap rumah banyak kenderaan berada di jalan terbabit.
“Kemudian saya terus mesej dalam kumpulan WhatsApp kejiranan kami dan mereka bersetuju untuk kumpul duit bersama belikan makanan dan minuman kepada mereka.
“Alhamdulillah dengan sumbangan ini sedikit sebanyak membantu…kebanyakan penerima mengadu memang lapar kerana terkandas lebih enam jam,” katanya kepada SelangorKini.
Isterinya Zawijah Ramli, 49, berkata mereka menempah bungkusan nasi dan mula agihkan seawal jam 7.30 pagi serta berehat seketika untuk membeli makanan tambahan.
“Kita sambung semula pada 10 pagi. Insya-Allah jika ada rezeki lebih kita akan tambah lagi,” katanya mengakui seronok membantu individu dalam kesukaran.
Ribuan pengguna lebuh raya dari kedua-dua arah ke Shah Alam dan Kuala Lumpur terperangkap selepas Kilometer (KM) 14.3 hingga KM 15.4 Lebuhraya Persekutuan berhampiran Stesen Komuter Batu 3, dekat sini, selepas dinaiki air sejak semalam.
Yang Dipertua MDHS Mohd Hasry Nor Mohd (kiri) menyerahkan beg makanan kepada seorang penerima pada prgoram bank makanan 'jom kongsi rezeki' di Pasaraya Segi Fresh Kuala Kubu Bharu pada 24 September 2021. Foto Facebook Unit Korporat MDHS
SHAH ALAM, 25 SEPT: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) bekerjasama dengan Pasaraya Segi Fresh Kuala Kubu Bharu menyumbang beg makanan kepada 113 keluarga kurang berkemampuan terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa.
Unit korporat pihak berkuasa tempatan (PBT) berkata sumbangan melalui program bank makanan ‘jom kongsi rezeki’ merangkumi barangan basah, bawang, ubi kentang, sayuran, mi kuning, kuetiau, kacang tanah, gula merah, epal dan oren.
“Program ini merupakan jalinan kerjasama dalam inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertujuan meringankan beban dan membantu masyarakat terjejas berikutan Covid-19.
“Fokus program ini juga bagi mencapai matlamat pembangunan mampan satu dan dua MDHS iaitu tiada kemiskinan serta sifar kelaparan,” menurut PBT itu dalam kenyataan di Facebook.
Bantuan diserahkan Yang Dipertua MDHS Mohd Hasry Nor Mohd dan Pengurus Besar Syarikat Segi Value Holdings Sdn Bhd Fong Leong sambil disaksikan Orang Besar Daerah Hulu Selangor Yang Dimuliakan Raja Dato’ Muzaffar Raja Redza.
Unit itu turut memaklumkan syarikat terbabit bersetuju memberi sebanyak 489 beg makanan kepada keluarga terjejas sekitar Pasaraya Segi Fresh di Batang Kali dan Bukit Sentosa.
ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli (tengah) menyampaikan bantuan bakul makanan dan wang tunai kepada mangsa banjir dari Kampung Tanjung Siam yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Pasangan pada 22 September 2021. Foto Facebook Juwairiya
SHAH ALAM, 24 SEPT: Mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Abdul Aziz Shah akan menerima bantuan bakul makanan dan wang tunai dalam masa terdekat.
Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berkata setakat ini seramai 26 mangsa daripada 12 keluarga dari Kampung Tanjung Siam berada di PPS terbabit sejak beroperasi Selasa.
“Kita telah memberikan bantuan sama kepada mangsa banjir di PPS SK Pasangan manakala mangsa di PPS SK Abdul Aziz Shah akan disampaikan tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.
ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli (tengah) menyantuni mangsa banjir dari Kampung Tanjung Siam yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Pasangan pada 22 September 2021. Foto Facebook Juwairiya
Sementara itu, beliau berkata PPS SK Abdul Aziz Shah dibuka sebagai tambahan kepada PPS SK Pasangan yang dihadkan untuk 16 keluarga sahaja bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dalam tempoh pandemik.
“Ketika lawatan kelmarin (Selasa), saya mendapati beberapa keluarga mangsa kampung tersebut masih belum mendapat penempatan sementara walaupun rumah mereka telah dinaiki air kerana kekangan SOP yang tidak membenarkan lebih dua keluarga dalam satu bilik darjah.
“Saya menghubungi Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nor Azmie Diron untuk membuka sebuah lagi PPS berdekatan dan Alhamdulillah, mereka diberi penempatan. Saya berterima kasih kepada semua anggota masyarakat serta jabatan terlibat bagi memastikan keselamatan penduduk terjaga,” kata Juwairiya.
Selain Kampung Tanjung Siam, kejadian banjir kilat pada 18 September lalu menjejaskan penduduk di Kampung Rantau Panjang, Bestari Jaya, Kampung Parit Mahang dan Jeram.
Susulan itu, tiga PPS dibuka iaitu SK Rantau Panjang, SK Parit Mahang dan SK Pasangan bagi menempatkan mangsa yang membabitkan 68 keluarga.
Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan bantuan makanan kepada seorang penerima pada 18 September 2021. Foto Facebook LZS
SHAH ALAM, 19 SEPT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) semalam memberi sumbangan kotak makanan kepada lapan keluarga mualaf terjejas akibat pandemik Covid-19.
Agensi memaklumkan penyerahan bantuan itu melibatkan kawasan Tanjung Karang, Bestari Jaya, bandar Kuala Selangor, Bukit Rotan, Jeram dan Saujana Utama.
“Berdasarkan maklumat diterima daripada guru Pembimbing Asnaf Mualaf Daerah Kuala Selangor, LZS berkesempatan untuk menziarahi dan menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada pelajar terjejas akibat Covid-19.
“Semua lapan saudara baharu yang masih berusaha untuk meningkatkan ilmu tentang Islam ini kebanyakannya bekerja sendiri dan menerima upah harian,” katanya menerusi Facebook.
Agensi itu berharap semoga sumbangan berkaitan dapat meringankan beban yang ditanggung.
LZS juga mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat kerana wang disalurkan dapat membantu mereka memerlukan.
EXCO Pembangunan Luar Bandar & Kebudayaan, Borhan Aman Shah (dua dari kiri) memberi bakul makanan kepada Penghulu Mukim Bandar dan Jugra Daerah Kuala Langat, Mohd Fazil Amin (dua dari kanan) sempena majlis penyerahan bakul makanan kepada wakil penghulu di Pejabat Tanah & Tanah Kuala Selangor pada 6 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
KUALA SELANGOR, 6 SEPT: Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM680,000 bagi memberi bantuan makanan kepada 11,400 penduduk kampung tradisi seluruh negeri yang terjejas pandemik Covid-19.
EXCO pembangunan luar bandar berkata sumbangan berupa beras, minyak, bihun, sardin dan gula itu merupakan kesinambungan bantuan supaya tiada rakyat terputus bekalan makanan.
“Sebelum ini bantuan dihulur menerusi peruntukan RM5,000 kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan hari ini kita tambah lagi. Ini dapat ringankan beban penduduk.
EXCO Pembangunan Luar Bandar & Kebudayaan, Borhan Aman Shah berucap sempena majlis penyerahan bakul makanan kepada wakil penghulu di Pejabat Tanah & Tanah Kuala Selangor pada 6 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
“Agihan diuruskan penghulu, ketua kampung atau agensi tertentu supaya sampai kepada golongan sasar yang memerlukan. Anggaran 100 penerima di setiap kampung,” kata Borhan Aman Shah hari ini.
Beliau ditemui pada majlis penyerahan bakul makanan kepada wakil penghulu di Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor.
Selain makanan asas, bakul turut mengandungi pelitup muka serta cecair pembasmi kuman.
Sementara itu Borhan berkata pihaknya sedang mengenal pasti produk industri kecil sederhana (IKS) setiap daerah untuk disumbangkan kepada pasukan barisan hadapan.
“Contohnya di Kuala Selangor ada produk ikan masin manakala Sepang terkenal dengan kerepek. Jadi kita beli produk ini untuk diserahkan kepada petugas hadapan sebagai tanda sokongan.
“Cara ini juga membantu pengusaha menjana pendapatan. Perkara ini sudah dibincangkan minggu lalu dan harap ia memberi manfaat kepada banyak pihak,” katanya.
Pada 23 Ogos, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mengingatkan semua wakil rakyat untuk turun padang mengesan penduduk yang memerlukan bantuan.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah golongan ini perlu sentiasa dicari, bukan hanya ketika ingin mendapatkan undi sewaktu pilihan raya sahaja.
Pemandu teksi Anuar Yaakob, 69, kelihatan gembira setelah menerima sumbangan barang keperluan asas makanan semasa program serahan bakul makanan di Pusat Khidmat Rakyat DUN Seri Setia, Petaling Jaya pada 6 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
SHAH ALAM, 25 OGOS: Seramai 5,539 pemandu teksi, van dan bas sekolah di seluruh negeri yang terjejas pendapatan akibat pandemik mendapat bantuan makanan.
EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han berkata bantuan bernilai RM100 yang diagihkan sejak Januari tahun ini membabitkan peruntukan keseluruhan RM553,900.
“Pengedaran bakul makanan ini dilaksana Yayasan Food Bank Malaysia dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan diselaras Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.
“Kerajaan Negeri akan memastikan tiada golongan tertinggal dalam sebarang bentuk bantuan pada masa akan datang agar lebih ramai dapat menikmatinya demi kelangsungan hidup,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi berhubung kebajikan pemandu teksi, van dan bas pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Inisiatif bakul makanan antara yang terangkum dalam Pakej Kita Selangor, yang turut memanfaatkan penyewa projek perumahan rakyat, pemandu lori sisa pepejal kendalian KDEBWM dan Orang Asal.
Bantuan itu sekali lagi diumumkan pada Jun lalu melalui Pakej Kita Selangor 2.0 dan diperluas kepada ibu tunggal, orang kelainan upaya dan pesakit Covid-19.
ADN Morib, Hasnul Baharuddin menyampaikan sumbangan makanan Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN Morib kepada petugas pada program Vaksin Selangor (Selvax) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan MPKL Taman Banting Baru, Kuala Langat pada 22 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BANTING, 22 OGOS: Sebanyak 1,600 bakul makanan diagih kepada penduduk terjejas di Morib sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, kata wakil rakyatnya.
Hasnul Baharuddin berkata rata-rata penduduk terkesan dengan pandemik Covid-19 dan sebahagiannya hilang punca pendapatan kerana tidak dapat keluar bekerja.
“Antara golongan terkesan yang menerima bantuan adalah peniaga, penjaja, pekerja kilang, pemandu lori dan teksi serta pemandu bas dan van sekolah.
“Kita tidak hanya memfokuskan bantuan bakul makanan tetapi turut membantu individu yang mengalami masalah kesihatan seperti rawatan dialisis dan sumbangan kerusi roda,” katanya selepas meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Morib di PPV Dewan MPKL Banting Baru hari ini.
Terdahulu Hasnul menyerahkan beg berisi makanan, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka kepada petugas barisan hadapan di PPV tersebut dengan diiringi Penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN Morib Johaini Ab Jalal.
Sementara itu, Johaini berkata pihaknya mengagihkan sebanyak 120 beg kepada petugas barisan hadapan di dua PPV iaitu Dewan MPKL Banting Baru dan Kompleks Sukan dan Belia MPKL Banting.
“Pemberian beg ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada jasa dan masa diluangkan petugas barisan hadapan sepanjang proses vaksinasi dijalankan,” katanya.
PWB adalah pusat penggerak wanita yang diwujudkan di 56 DUN di bawah Kerajaan Negeri dan bertujuan menyantuni masyarakat khasnya wanita dan remaja perempuan dengan pelbagai pendekatan termasuk memberi latihan kemahiran berskala kecil serta sederhana.